Pas desak Asmuni mohon maaf

Hafez Sabri
Hafez Sabri
A
A
A

IPOH – Pemuda Pas Perak mendesak agar satu permohonan maaf secara terbuka dibuat Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berikutan tindakannya menyebar audio suara Allahyarham Norazli Musa pada Persidangan DUN Perak, semalam.

Timbalan Ketuanya, Hafez Sabri berkata, wakil rakyat Amanah itu sepatutnya mendapatkan kepastian terlebih dahulu sebelum menyebar audio berkenaan kepada umum, apatah lagi isu dibangkitkan melibatkan individu yang sudah meninggal dunia.

Menurutnya, semasa masih hidup, Allahyarham telah bertindak menyaman pihak yang memfitnahnya, kononnya beliau mengatakan ‘siapa yang keluar jemaah Islam (Pas) maka ia jatuh kafir’ (seperti kandungan audio).

“Mahkamah sendiri telah memberi kemenangan kepada Allahyarham dalam kes itu. Justeru kenyataan dan tindakan Exco Kerajaan Negeri dalam Sidang DUN Perak, semalam telah melukakan hati isteri dan seluruh ahli keluarga serta sahabat Allahyarham,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Allahyarham yang turut dikenali sebagai Ustaz Azli Taliban meninggal dunia akibat terkena serangan jantung semasa tidur di Madinah, bulan lepas.

Selain dilantik sebagai Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Allahyarham turut pernah menerajui Ketua Pemuda Pas Perak.

Hafez berkata, Pemuda Pas kesal di atas tuduhan melulu yang dilemparkan pada keadaan Allahyarham tidak dapat membela diri.

“Jadi kita mendesak agar Yang Berhormat Asmuni segera membuat permohonan maaf secara terbuka diatas tindakannya itu,” katanya.

Artikel Berkaitan: