Lebih ramai ahli UMNO sertai Pas selepas 'pembersihan'

Rafiei
Rafiei
A
A
A

SEREMBAN - Pas Negeri Sembilan menjangkakan lebih ramai ahli UMNO yang akan menyertai parti itu terutama selepas tindakan 'pembersihan' besar-besaran yang akan dilakukan terhadap ahlinya.

Pesuruhjayanya, Rafiei Mustapha berkata, pihaknya bukan mahu mengambil kesempatan atas apa yang berlaku tetapi bersedia menerima sesiapa saja yang berhasrat bersama perjuangan Pas.

"Pas tiada halangan menerima penyertaan sesiapa saja, malah sekarang ini pun ia sudah berlaku terutama di kawasan Lenggeng selepas kemasukan bekas Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau turut mendedahkan, terdapat beberapa ahli UMNO di kawasan Kuala Pilah yang hanya menunggu masa untuk menyertai Pas dan telah mula menyatakan sokongan.

Ditanya pandangan berkenaan tindakan UMNO melakukan 'pembersihan' Rafiei berkata, ia hanya merugikan parti itu terutama dalam keadaan ramai yang sudah mula hilang kepercayaan.

"UMNO sepatutnya mempunyai kayu pengukur yang jelas berhubung individu yang mahu dibersihkan dari parti itu.

"Adakah individu yang mahu dibersihkan itu terlibat dalam salah laku atau bertentangan dengan dasar UMNO? Ia perlu jelas, dan bukannya dibuat semata-mata hanya kerana ada yang lantang bersuara," katanya.

Tambahnya, UMNO perlu sedar yang ramai ahlinya di peringkat akar umbi sudah kecewa dengan keputusan parti itu.

Ujarnya, ketidakpuasan hati sesetengah ahli itu jelasnya disebabkan keputusan yang telah diputuskan di dalam Perhimpunan Agung UMNO tidak dipatuhi.

"Ketika Pas bersama UMNO, kita sudah dapat rasakan keselesaan dan ia disambut baik oleh semua. Tapi malangnya ia tak sehingga ke penghujung.

"Saya nampak perkara ini dipengaruhi oleh individu tertentu di peringkat kepimpinan UMNO yang mempunyai agenda peribadi," katanya.

Sebelum ini media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa nasib individu lain selain bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan turut ditentukan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Jelasnya, ia merupakan sebahagian daripada langkah pembersihan besar-besaran di dalam parti itu seperti diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) yang lalu.