Selain KJ, nasib individu lain turut diputuskan MKT esok

Ahmad Zahid pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat penyelaras antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco Luar Bandar (Mexclub), di sini pada Khamis.
Ahmad Zahid pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat penyelaras antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco Luar Bandar (Mexclub), di sini pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa nasib individu lain selain bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi, malam Jumaat.

Jelasnya, ia merupakan sebahagian daripada langkah pembersihan besar-besaran di dalam parti itu seperti diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu.

"Apabila besar-besaran itu maknanya adalah (individu lain). Mana yang terasa atau belum terasa Insya-ALLAH esok malam akan terasa," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat penyelaras antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco Luar Bandar (Mexclub) di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai fokus mesyuarat MKT yang dijadual berlangsung di Menara UMNO jam 8 malam Jumaat.

Ketika diasak berapa jumlah individu yang terlibat, Ahmad Zahid enggan mengulas lanjut.

"Tak boleh saya beritahu awal. Kalau strategi dikongsi dengan wartawan, ia tidak lagi menjadi strategi.

"Saya perlu embargo maklumat itu sehingga waktunya," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjemput pihak media untuk hadir ke Menara UMNO bagi membuat liputan berhubung perkara itu.

"Sila datang beramai-ramai kalau hendak mengetahui senarai mereka yang terlibat," katanya.

Pada PAU yang lalu, Ahmad Zahid dilapor memberi jaminan akan melakukan pembersihan menyeluruh supaya UMNO bersih daripada anasir baling batu sembunyi tangan.

Antara nama yang disebut terbabit dalam pembersihan itu adalah Khairy selepas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan mengesahkan status keahlian bekas Menteri Kesihatan itu akan ditentukan dalam mesyuarat MKT.

Khairy sebelum ini mengkritik parti berhubung jawatan nombor satu dan dua yang diputuskan tidak dipertandingkan.

Beliau menyifatkan ia sebagai "kegilaan" dan cubaan untuk menyekat demokrasi.