Kerajaan komited pacu sistem pengurusan Islam

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan pada majlis World Convention Al-Kahf di Pusat Islam, hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan pada majlis World Convention Al-Kahf di Pusat Islam, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan komited untuk terus memacu kecemerlangan dalam sistem pengurusan Islam bagi mencapai matlamat pembangunan yang mampan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata usaha itu akan dilaksanakan mengikut acuan Malaysia sendiri yang berasaskan gagasan Rahmatan lil Alamin dengan menggunakan pendekatan Maqasid As-Syariah.

Dr Wan Azizah berkata Maqasid As-Syariah yang ingin dicapai iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta perlu menjadi tonggak dan hala tuju yang jitu dalam pensyariatan hukum dan ajaran Islam.

"Apabila semuanya dapat digembleng dengan baik dan sempurna ia akan menjadi sebuah acuan yang unggul untuk memastikan pentadbiran negara yang penuh integriti dan telus.

"Ini semua telah diperkatakan dalam Al-Quran sama ada secara jelas atau secara simbolik," kata Dr Wan Azizah ketika berucap di majlis penutupan program World Convention Al-Khaf sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61, di sini hari ini.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta beberapa rakan strategik lain itu memfokuskan aktiviti tadabbur (menghayati Al-Quran melalui kaedah membaca, memahami dan mengaplikasikan saranannya khususnya yang terkandung dalam surah Al-Kahfi.

Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Jawi Mohd Adib Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kementerian itu juga telah mengarahkan penganjuran program tadabbur surah An-Nur sebagai permulaan.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, jelas beliau, surah itu amat rapat dengan sasaran dan fokus kementerian itu.

"Apabila penghayatan Al-Quran ini dapat diterapkan dengan acuan yang tuntas dan mampan baharulah kita dapat memastikan rahmah sentiasa berterusan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara," katanya. -Bernama