Permohonan PR, kewarganegaraan diproses secara telus - JPN

SHAH ALAM – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyatakan komitmen dalam memastikan setiap permohonan sebagai pemastautin tetap (PR) kepada warga asing dan permohonan kewarganegaraan Malaysia diproses secara telus, teratur dan berpandukan kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JPN dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, pihaknya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil maklum kebimbangan yang dizahirkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu yang melibatkan kepentingan kedaulatan negara, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, sehingga 31 Disember lalu, seramai 261,156 pemegang Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) direkodkan di seluruh negara.
"MyPR ialah kad yang dikeluarkan kepada individu bukan warganegara yang telah diberikan status pemastautin tetap di Malaysia, yang membolehkan mereka menetap dan bekerja secara sah di negara ini selepas diberikan status tersebut melalui Permit Masuk oleh Jabatan Imigresen.
"Pada masa ini, kawalan prosedur utama bagi permohonan MyPR adalah berpandukan kepada Permit Masuk sah yang diperoleh oleh pemohon daripada Jabatan Imigresen, yang mana pertimbangan dan kelulusan Permit Masuk adalah sepenuhnya tertakluk kepada kriteria dan penilaian jabatan tersebut," menurut kenyataan itu.
JPN menjelaskan bahawa semakan silang secara bersepadu antara agensi turut dilaksanakan bagi mengesahkan bahawa Permit Masuk yang dikemukakan adalah tulen, sah dan dikeluarkan kepada individu yang benar-benar layak.
"Keputusan permohonan adalah tertakluk kepada Panel Jawatankuasa Pertimbangan Kelulusan yang dijalankan secara berkala, dan setiap permohonan akan diperhalusi dengan teliti bagi memastikan kesahihan dan kelayakan pemohon.
"Bagaimanapun, status dan kad pengenalan MyPR boleh ditarik balik sekiranya pemegang didapati terlibat dalam apa-apa kesalahan yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman awam atau kepentingan negara," jelasnya.
Bagi penganugerahan kewarganegaraan kepada individu bertaraf bukan warganegara, JPN menjelaskan bahawa ia merupakan anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan yang tidak diberikan sewenang-wenangnya.
Tambahnya, setiap permohonan kewarganegaraan diproses dan diteliti dengan sewajarnya berdasarkan peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964, dengan mengambil kira kepentingan nasional serta keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada.
"KDN dan JPN akan sentiasa peka dan menjalankan proses sebaik-baiknya dalam perkara ini kerana setiap permohonan akan diteliti mengikut giliran yang sewajarnya sebelum keputusan dikeluarkan.
"Pertimbangan yang teliti perlu dilaksanakan bagi memastikan taraf kewarganegaraan hanya diberikan kepada individu yang benar-benar layak, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan, tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kepentingan negara dan warganegara sedia ada.
"Dalam hal ehwal kewarganegaraan, pertimbangan terhadap mana-mana permohonan adalah berdasarkan kepada syarat-syarat di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964, serta perundangan berkaitan yang berkuat kuasa, termasuk isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen," menurut kenyataan itu lagi.
Menurut JPN, titah nasihat Al-Sultan Abdullah terhadap isu tersebut amat dihargai dan pihaknya akan terus memikul tanggungjawab serta tugas dengan baik dan penuh integriti.
Ringkasan AI
- JPN berkomitmen memproses permohonan PR dan kewarganegaraan secara telus dan berpandukan undang-undang
- Sultan Pahang bimbang tentang isu kedaulatan negara, keselamatan, dan kesejahteraan rakyat
- Terdapat 261,156 pemegang MyPR di Malaysia, yang membolehkan mereka menetap dan bekerja secara sah
- Prosedur permohonan MyPR berpandukan kepada Permit Masuk yang sah daripada Jabatan Imigresen
- Permohonan kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi dan diproses berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
