Garis panduan ‘pet-friendly mall’ di Selangor tidak perlu – ADUN Permatang

SHAH ALAM – Cadangan untuk mengadakan perbincangan meja bulat bagi merangka satu rangka kerja atau garis panduan berkaitan konsep 'pet-friendly mall' di Selangor disifatkan tidak perlu dan tidak wajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, kedudukan undang-undang serta prinsip syariah di negeri ini sudah jelas dan berkuat kuasa.
"Sebarang dasar awam yang ingin diperkenalkan tidak boleh dipisahkan daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, serta nilai asas kenegaraan yang termaktub dalam Rukun Negara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau mengulas kenyataan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim yang mencadangkan supaya satu sesi libat urus atau perbincangan meja bulat diadakan bagi meneliti keperluan mewujudkan rangka kerja khusus berkaitan konsep pusat beli-belah mesra haiwan peliharaan di Selangor.
Menurut Nurul Syazwani, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan bukan bersifat simbolik.
Jelasnya, sebaliknya peruntukan itu mewajibkan semua dasar dan tindakan kerajaan, sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri, mengambil kira kepentingan agama Islam, hukum syarak dan sensitiviti umat Islam.
“Dalam konteks ini, sebarang usaha untuk menormalisasikan kehadiran haiwan peliharaan di ruang awam tertutup melibatkan premis makanan tidak boleh dilihat sebagai isu gaya hidup semata-mata.
"Sebaliknya, ia perlu ditimbang dari sudut kebersihan menurut hukum syarak, pematuhan halal serta implikasi terhadap keyakinan umat Islam selaku kumpulan majoriti rakyat Selangor,” ujarnya.
Nurul Syazwani turut menegaskan bahawa prinsip Kesopanan dan Kesusilaan dalam Rukun Negara menuntut supaya setiap dasar awam menghormati norma masyarakat, adat, agama dan sensitiviti awam, khususnya dalam ruang bersama.
Beliau berkata, dalam masyarakat majmuk, prinsip itu bukan bermaksud menghapuskan batas, sebaliknya memastikan kebebasan sesuatu kelompok tidak menjejaskan hak, keselesaan dan kepercayaan kelompok lain, terutama dalam isu melibatkan makanan, kebersihan dan agama.
Mengulas aspek perundangan, Nurul Syazwani memaklumkan bahawa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), menerusi maklum balas rasmi terhadap surat beliau bertarikh 15 Disember 2025, menegaskan bahawa larangan membawa haiwan ke premis makanan kekal berkuat kuasa berdasarkan Peraturan 8(1)(c), Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, selain Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan (MBSJ) 2007 dan Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MBSJ) 2007.
Jelasnya, peruntukan tersebut merupakan undang-undang bertulis dan bukan garis panduan fleksibel yang boleh diketepikan melalui perbincangan dasar atau tekanan naratif tertentu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga melalui maklum balas rasmi bertarikh 15 Disember 2025 menegaskan bahawa kehadiran haiwan peliharaan di ruang awam tertutup memberi implikasi serius terhadap pematuhan Standard Halal Malaysia, termasuk MS 1500:2019 dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia, yang berpotensi menjejaskan status sijil halal premis.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut memaklumkan bahawa isu berkenaan dipandang serius kerana melibatkan hukum syarak, kebersihan dan sensitiviti umat Islam, serta telah dirujuk kepada Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi mendapatkan pandangan hukum sebelum sebarang keputusan dibuat.
Sehubungan itu, Nurul Syazwani menegaskan bahawa kedudukan undang-undang berkaitan kehadiran haiwan peliharaan di premis tertutup, khususnya yang melibatkan makanan dan ruang awam, adalah jelas, muktamad dan berkuat kuasa.
Beliau berkata, prinsip Islam sebagai agama Persekutuan, nilai Kesopanan dan Kesusilaan dalam Rukun Negara, serta peruntukan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan dan standard halal tidak boleh diketepikan melalui cadangan dasar baharu atau naratif liberalisasi gaya hidup.
“Kerajaan Negeri Selangor seharusnya menumpukan kepada penguatkuasaan undang-undang sedia ada secara konsisten dan tegas, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, demi menjaga kepentingan awam, keharmonian masyarakat majmuk dan kedaulatan undang-undang di negeri ini,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Cadangan perbincangan meja bulat mengenai konsep 'pet-friendly mall' di Selangor dikritik kerana tidak perlu dan bertentangan dengan undang-undang serta prinsip syariah
- Nurul Syazwani Noh menyatakan dasar awam harus selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam dan nilai asas kenegaraan
- Ia ditekankan bahawa kepentingan agama Islam, hukum syarak dan sensitiviti umat Islam harus dipertimbangkan dalam setiap dasar dan tindakan kerajaan
- Larangan membawa haiwan ke premis makanan disokong oleh undang-undang kebersihan makanan dan standard halal Malaysia
- Nurul menegaskan prinsip Islam, nilai Kesopanan dan Kesusilaan dalam Rukun Negara, dan undang-undang sedia ada tidak boleh diketepikan demi liberalisasi gaya hidup
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

