Harimau Malaya baharu sudah beri sepenuh jiwa

Sejujurnya anak buah Pang-gon sudah pun memberikan persembahan terbaik bagi mencabar kejuaraan apabila berjaya melepasi cabaran peringkat kumpulan sebelum ini. - Foto Bernama
Sejujurnya anak buah Pang-gon sudah pun memberikan persembahan terbaik bagi mencabar kejuaraan apabila berjaya melepasi cabaran peringkat kumpulan sebelum ini. - Foto Bernama
A
A
A

TAMAT sudah perjuangan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon dalam saingan Piala AFF 2022 apabila disekat juara bertahan Thailand dalam separuh akhir kedua di Stadium Thammasat.

Kekalahan agregat 1-3 kepada Gajah Perang kendalian Alexandre Polking itu meneruskan kemarau kejuaraan Malaysia yang kali terakhir menjulang kejuaraan dwitahunan itu pada edisi 2010.

Malaysia pada edisi Piala AFF 2020 ditunjukkan jalan keluar selepas tewas 1-4 kepada Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Singapura.

Keputusan tersebut meranapkan impian skuad kebangsaan bimbingan Tan Cheng Hoe ketika itu untuk mara ke separuh akhir, apabila mengakhiri saingan kumpulan di tempat ketiga.

Malah prestasi edisi 2020 itu juga menyaksikan Harimau Malaya gagal melepasi saingan kumpulan buat kali kedua selepas edisi 2016.

Pujian wajar diberikan kepada Pan-gon kerana berjaya mengadun ramuan terbaik dalam penyediaan pasukan selepas kehilangan lebih 12 pemain tonggak sebelum pembentukan skuad baharu bagi kempen Piala AFF.

Mereka ialah 11 pemain daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Shahrul Saad, Corbin Ong, Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Hanafi, Akhyar Rashid, Matthew Davies, Syafiq Ahmad, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Shio Hong Wan serta Natxo Insa dan seorang pemain Sri Pahang, Nor Azam Azih berikutan urusan peribadi, komitmen keluarga dan kecederaan.

Mereka sebelum ini berperanan membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2023.

Artikel Berkaitan:

Lebih membanggakan juga adalah apabila para pemain yang dipilih menggalas cabaran pasukan negara - dikenali sebagai ‘pemain ke-12’, telah pun menggunakan peluang bersaing dengan gergasi seperti Vietnam, Singapura dan Thailand.

Malah sebelum sepak mula kejuaraan itu dua kemenangan ke atas Kemboja dan Maldives memberikan petanda positif skuad baharu negara ini yang kebanyakan dibarisi pemain pengganti mampu menggalas misi negara.

Penyerang sensasi negara, Faisal Abdul Halim dan rakan lain dalam Harimau Malaya ternyata tidak mengecewakan pemain ke-12 negara yang sentiasa menyokong sama ada menang atau kalah.

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Stuart Wilkin, Lee Tuck, Sergio Aguero, Shahrul Nazeem Zulpakar dan Fazly Mazlan antara watak yang memberikan persembahan sepenuh jiwa sepanjang kempen tersebut.

Sejujurnya anak buah Pang-gon sudah pun memberikan persembahan terbaik bagi mencabar kejuaraan apabila berjaya melepasi cabaran peringkat kumpulan sebelum ini.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli sebelum ini berkata, sememangnya wujud karakter keterujaan dalam kalangan pemain baharu yang menggalas cabaran negara pada Piala AFF.

“Namun para pemain ke-12 negara juga perlu melihat sudut jangka panjang pembentukan skuad Harimau Malaya yang baharu ini.

“Kita perlu kembali kepada realiti bahawa Pan-gon kehilangan lebih 12 pemain tonggak Harimau Malaya sebelum pembentukan skuad baharu bagi cabaran kejuaraan kali ini.

“Di sebalik itu para pemain yang terpilih menggalas cabaran pasukan negara perlu menggunakan peluang bersaing dengan gergasi besar Asia Tenggara seperti Vietnam dan Thailand.

“Biarpun apa keputusan yang diraih skuad negara pada kejuaraan dwitahunan itu nanti, setidak-tidaknya Pan-gon sudah memiliki pilihan pemain yang lebih besar untuk persediaan mengharungi pusingan akhir Piala Asia 2023,” katanya.

Persediaan Harimau Malaya untuk mengharungi saingan Piala Asia 2023 selepas mengharungi Piala AFF juga perlu diperkemas supaya skuad yang bakal menggunakan semula khidmat para pemain sebelum ini lebih berdaya saing.

Harus diingat bahawa saingan Piala AFF antara medan pemanas badan terbaik bagi Pan-gon menilai semula prestasi para pemainnya.

Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (Strategik), Suhardi Alias berkata, skuad Harimau Malaya yang berjaya menyambar slot secara merit ke pusingan akhir Piala Asia 2023 merupakan satu pencapaian luar biasa.

“Cuma pasukan itu perlu digarap semula dari segi strategi dan kecergasan, dan dikekalkan pemain sedia ada kerana dalam kalangan mereka telah wujud satu bentuk kombinasi keserasian yang mantap,” katanya.

Kini para pemain ke-12 negara sedang menanti apakah strategi Pan-gon dalam memilih barisan terkuatnya bagi memberi tentangan sehabis baik pada Piala Asia 2023.

*Zuraimee Zainal ialah Penolong Editor Sukan Sinar Harian