Sasaran separuh akhir untuk skuad Piala Sudirman

Tim Jones
Tim Jones
A
A
A

SKUAD badminton negara diletakkan sasaran separuh akhir untuk Piala Sudirman pada 14-21 Mei ini di Suzhou, China, iaitu sekurang-kurangnya menyamai pencapaian pingat gangsa dalam edisi sebelum ini di Vantaa, Finland.

Pengarah Prestasi Tinggi Akademi Badminton Malaysia (ABM), Dr Tim Jones mengumumkan sasaran itu selepas menyenaraikan 20 pemain untuk skuad itu - melibatkan pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain profesional - bagi kejohanan berpasukan campuran itu, pada Rabu.

Senarai itu menyaksikan pemain profesional yang juga pemain nombor empat dunia, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong (ke-26) dalam perseorangan lelaki, manakala perseorangan wanita terdiri daripada Goh Jin Wei dan K. Letshanaa.

Beregu lelaki akan dipimpin juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik bersama Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, sementara beregu nombor lapan dunia Pearly Tan-M. Thinaah disenaraikan dalam beregu wanita bersama Go Pei Kee dan Valeree Siow.

Dalam pada itu, BAM melakukan kejutan dengan menamakan empat beregu campuran terdiri daripada beregu nombor lapan dunia Goh Soon Huat-Shevon Lai dan beregu nombor 13 dunia Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (kedua-duanya beregu profesional), juara Orleans Masters Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing.

Jones berkata, pasukan kejurulatihan memutuskan untuk membawa empat pasangan beregu campuran bagi memberi peluang kepada kedua-dua pemain profesional dan ABM.

"Kami ingin memastikan kami mempunyai pasukan yang kuat untuk beraksi, jadi ini memberi kami lebih ‘senjata’ untuk dipilih. Ini juga menjadikan kami lebih fleksibel, jika kami mahu menggunakan mana-mana ‘scratch pair’ kami mempunyai pilihan, kami juga meninggalkan beberapa pemain untuk pasukan Sukan SEA.

"Pemain-pemain (yang akan bermain) bakal dipilih berdasarkan kedua-dua ranking dan prestasi semasa. Kami bawa mereka ke China, teruskan latihan dan kami akan membuat keputusan dari sana,” katanya dalam sidang media di ABM di sini, pada Rabu.

Susulan jadual yang ketat, dengan Kejohanan Badminton Asia di Dubai dari 25-30 April, diikuti Sukan SEA di Phnom Penh (5-17 Mei), Jones berkata peserta Piala Sudirman dijangka mengikuti kem latihan berpusat pada 2-10 Mei, sebelum terbang ke China pada 11 Mei.

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Taiwan, johan Piala Thomas India dan Australia. Berdasarkan format kejohanan itu, setiap pasukan akan menurunkan perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu wanita, beregu lelaki dan beregu campuran dalam aksi kumpulan.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan dwitahunan itu ialah gangsa pada edisi Vantaa 2021 dan Guangzhou 2009. - Bernama