Pan Gon risik rahsia kelab EPL

Pan Gon (kiri) meninjau fasiliti latihan West Ham. - Foto Facebook FAM
Pan Gon (kiri) meninjau fasiliti latihan West Ham. - Foto Facebook FAM
A
A
A

SELEPAS Sepanyol, London menjadi destinasi barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan menimba ilmu baharu apabila mereka menghabiskan tempoh seminggu di ibu kota England itu.

Delegasi barisan kejurulatihan yang diketuai Kim Pan-gon berpeluang berkongsi pengalaman dengan kelab West Ham dan Brighton yang beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Turut serta ialah pembantunya, Pau Marti Vicente serta jurulatih penjaga gol, Cho Junho; jurulatih kecergasan, Jihyeon Park dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun yang meneruskan lawatan teknikal ke dua pasukan yang beraksi di EPL itu.

Mereka berpeluang menyaksikan sesi latihan pasukan West Ham, melawat fasiliti latihan kelab tersebut serta bertemu beberapa pegawai dan staf kejurulatihan kelab termasuk pengurus West Ham, David Moyes.

Selain itu, mereka turut ke Brighton bertemu beberapa staf teknikal dan kejurulatihan kelab berkenaan.

Sepanjang berada di London, Pan-gon dan staf kejurulatihan berkesempatan menyaksikan dua perlawanan EPL membabitkan aksi West Ham bertemu Liverpool serta Brighton menentang Wolverhampton Wanderers.

Pan Gon (kiri) bersama Hee-chan yang beraksi bersama Wolves. - Foto Facebook FAM
Pan Gon (kiri) bersama Hee-chan yang beraksi bersama Wolves. - Foto Facebook FAM

Selepas perlawanan, Pan Gon sempat meluangkan masa bertemu penyerang kebangsaan Korea Selatan, Hwang Hee-chan yang beraksi bersama Wolverhampton Wanderers.

Barisan staf kejurulatihan Harimau Malaya itu selamat tiba di Kuala Lumpur pada Isnin.