Sukan SEA: Skuad badminton mara ke separuh akhir

Jun Hao mengutip mata pertama buat skuad badminton negara dalam Sukan SEA Kemboja pada Selasa. Foto Facebook Persatuan Badminton Malaysia.
Jun Hao mengutip mata pertama buat skuad badminton negara dalam Sukan SEA Kemboja pada Selasa. Foto Facebook Persatuan Badminton Malaysia.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Skuad badminton lelaki negara mara ke separuh akhir acara berpasukan selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Vietnam pada peringkat suku akhir Sukan SEA 2023 di Phnom Penh pada Selasa.

Pemain perseorangan utama negara, Leong Jun Hao merangkul mata pertama setelah pemain nombor 61 dunia itu menumpaskan Nguyen Hai Dang, 21-14, 21-16, dalam perlawanan yang berlangsung di Dewan Badminton Morodok Techo National Stadium.

Meskipun diasak sengit beregu Vietnam, Nguyen Dinh Hoang-Tran Dinh Manh, 21-19, dalam set pertama perlawanan kedua, beregu negara Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe kekal tenang untuk memenangi set kedua 21-14, sekali gus menambah mata pendahuluan buat Malaysia.

Bagaimanapun, Lee Shun Yang, pemain ranking ke-93 dunia, gagal meneruskan momentum kejayaan itu selepas tewas kepada pemain nombor 163 dunia, Le Duc Phat, 13-21, 21-16, 7-21.

Dalam perlawanan terakhir, beregu kedua negara Chia Weijie-Liew Xun menundukkan Xun Nguyen Xuan Hung-Pham Van Hai, 21-14, 21-18, sekali gus mengesahkan tiket separuh akhir untuk Malaysia pada Rabu.

Malaysia, yang merupakan pilihan kedua kejohanan, akan menentukan slot ke final dengan menentang Thailand, selepas juara bertahan itu mengalahkan Kemboja 3-0.

Sementara itu, Weijie ketika ditemui selepas perlawanan mengakui mereka kehilangan fokus pada minit-minit akhir set kedua, sekali gus memberi peluang kepada pasangan Vietnam memperoleh lima mata bagi merapatkan jurang hingga 19-18.

Namun Weijie-Liew berjaya menempuh saat-saat genting itu untuk akhirnya meraih mata kemenangan buat Malaysia.

Weijie berkata mereka bersedia untuk 'menggempur' Thailand, selain mahu menebus kekalahan 0-3 kepada pasukan itu pada edisi final 2021.

Kali terakhir skuad negara memenangi pingat emas bagi acara berpasukan lelaki ialah di Manila 2005.

Semalam, pemain negara tewas 0-3 kepada Filipina dalam peringkat suku akhir berpasukan wanita. - Bernama