22 GRO, bouncer ditahan dalam Op Gegar

Antara individu yang ditahan dalam serbuan Op Gegar di sebuah pusat hiburan, Taman Ipoh, Ipoh pada Rabu. - Foto ihsan Imigresen
Antara individu yang ditahan dalam serbuan Op Gegar di sebuah pusat hiburan, Taman Ipoh, Ipoh pada Rabu. - Foto ihsan Imigresen
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki warga tempatan dipercayai 'bouncer' ditahan ketika cuba menghalang pasukan Jabatan Imigresen Perak yang melakukan serbuan Op Gegar di sebuah pusat hiburan, Taman Ipoh di sini pada Rabu.

Operasi yang bermula sekitar jam 1.25 pagi itu melibatkan sepasukan 28 pegawai Imigresen dari Bahagian Penguat Kuasa.

Pengarah Imigresen negeri, Hapdzan Husaini berkata, kecekapan pegawai operasi bagaimanapun berjaya mematahkan cubaan lelaki berusia 34 tahun tersebut sekali gus menahan 27 individu termasuk 22 wanita warga asing disyaki pelayan pelanggan (GRO).

"Kehadiran pegawai operasi di lokasi menyebabkan mereka berlari bersembunyi di belakang pintu dalam usaha meloloskan diri.

"Pada masa sama, seorang lelaki cuba menghalang pergerakan masuk pasukan dengan menahan pintu masuk dari sebelah dalam premis namun gagal," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, seramai 80 individu telah diperiksa dan 28 daripadanya berusia 20 hingga 40 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Daripada jumlah itu, 10 wanita merupakan warga China, 11 wanita Vietnam dan seorang wanita warga Thailand.

"Selain itu, lima lelaki warga Bangladesh dan seorang warga tempatan turut ditahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hapdzan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Tambah beliau, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.