Lelaki sanggup ulang-alik 300km rogol remaja ditahan

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di Muar pada Selasa untuk mendapatkan perintah reman.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di Muar pada Selasa untuk mendapatkan perintah reman.
A
A
A

MUAR - [KEMAS KINI] Polis menahan seorang lelaki dipercayai mengadakan hubungan seks dengan seorang remaja berumur 14 tahun dalam kebun sawit di belakang rumah remaja terbabit di Bakri di sini sejak Mac lalu.

Sebelum ditahan suspek, 22, yang bekerja di sebuah restoran makanan segera sanggup berulang-alik sejauh hampir 300 kilometer (km) semata-mata mahu melakukan perbuatan terkutuk itu.

Suspek dilaporkan menunggang motosikal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Bakri untuk bertemu dan melakukan perbuatan tersebut.

Kejadian tersebut bagaimanapun terbongkar apabila abang mangsa hairan adiknya selalu tiada di rumah setiap jam 1.30 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, abang mangsa kemudian menyiasat sebelum mengetahui adiknya melakukan hubungan seks dengan suspek.

"Susulan itu satu laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Kepong di sini kelmarin. Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku sejak Mac lalu dan kali terakhir bulan lalu.

"Daripada maklumat diterima, suspek akan menghubungi mangsa terlebih dahulu sebelum mereka berjumpa di kebun sawit terletak belakang rumahnya," katanya ketika dihubungi.

Raiz Mukhliz berkata, bertindak atas laporan dibuat, suspek ditahan untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Mahkamah Majistret mengeluarkan perintah reman selama seminggu terhadap suspek bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.