Lelaki warga asing rentung nahas empat kenderaan

Anggota bomba memadam kebakaran sebuah van yang terbalik dan terbakar dalam kemalangan, pada Isnin.
Anggota bomba memadam kebakaran sebuah van yang terbalik dan terbakar dalam kemalangan, pada Isnin.
A
A
A

KLUANG - Seorang lelaki warga asing rentung dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 52, Lebuhraya Utara Selatan, Simpang Renggam dekat sini pada Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Penguasa Bomba Nizar Mamun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 5.39 petang.

Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace, lori Isuzu, kereta Toyota Camry dan Honda Civic.

"Kejadian berlaku apabila van berkenaan yang dinaiki tiga lelaki semuanya dipercayai warga Pakistan terlibat kemalangan di arah utara lebuh raya itu dengan sebuah lori 5 tan yang membawa muatan batu.

"Akibatnya van tersebut terbalik dan merempuh pembahagi jalan sebelum terbakar. Dua lelaki yang berada van berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi yang tidak dikenali idenditinya rentung," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, lori berkenaan turut terbalik dengan muatan batu berterabur atas jalan dan turut ke terpelanting ke laluan bertentangan.

"Pada masa sama kereta Toyota Camry dan Honda Civic datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak muatan batu yang jatuh sehingga mengakibatkan kemalangan.

"Pemandu lori berkenaan tidak diketahui cedera atau tidak kerana semasa bomba tiba dia sudah tidak berada di lokasi manakala empat mangsa dalam Toyota Camry dan seorang mangsa lelaki dalam Honda Civic selamat," ujar beliau.

Menurut Nizar yang juga Komander Operasi dari BBP tersebut, kerja-kerja memadam kebakaran tamat pada jam 6.39 petang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!