Banjir: Lapor jika ternakan, tanaman terjejas

AZMAN
AZMAN
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mangsa banjir yang mengalami kerugian akibat kematian ternakan atau kemusnahan tanaman perlu membuat laporan bagi melancarkan proses saluran bantuan menerusi Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim berkata, laporan boleh dibuat sama ada kepada pihak polis, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan atau Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu.

"Golongan terlibat seperti petani, penternak dan nelayan boleh membuat laporan kerugian akibat bencana banjir sama ada yang terlibat dengan aktiviti tanaman, penternakan atau perikanan.

"Kerajaan Negeri melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu akan uruskan sumbangan ganti rugi akibat bencana yang dialami," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak JPV Terengganu turut terlibat dalam operasi menyelamatkan haiwan ternakan ke lokasi selamat ketika bencana buruk melanda negeri.

"Banjir luar jangka kali ini menyebabkan jumlah kematian ternakan agak luar biasa.

"Saya telah mengarahkan JPV Terengganu untuk mengemukakan laporan lengkap taksiran kerugian kepada kerajaan negeri supaya mereka dapat dibantu," ujarnya.

Menurut Azman, bencana banjir kali ini turut melibatkan penternak ikan berkelompok di Kampung Cawat, Besut serta dua buah vesel nelayan yang tenggelam di daerah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Perubahan kadar kemasinan air disebabkan peningkatan mendadak jumlah air hulu yang mengalir ke kuala dan air yang berselut antara punca utama ikan mati.

"Insya-ALLAH kes ini akan disantuni melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu dan Tabung Bencana Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi kes bot tenggelam," jelas beliau.