Insurans Rahmah: KPDN bina pangkalan data mangsa banjir lebih sistematik

Salahuddin bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir monsun timur laut tahun 2022/2023 Daerah Dungun, hari ini. Foto Bernama
Salahuddin bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir monsun timur laut tahun 2022/2023 Daerah Dungun, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

DUNGUN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membina sistem pangkalan data mangsa banjir yang lebih sistematik bagi menarik lebih banyak penglibatan syarikat insurans dalam pelaksanaan Insurans Rahmah yang akan dilancarkan Jun ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, menerusi pangkalan data yang dibina dengan kerjasama pelbagai agensi itu, ia akan meyakinkan syarikat insurans terkemuka negara untuk tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara.

"Data mangsa banjir itu akan dikumpul dari pusat bencana...KPDN akan bekerjasama dengan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) supaya data itu dapat diperkemas.

"Kita tidak mahu berlakunya sasaran yang tidak tepat. Kelak nanti syarikat insurans akan lebih yakin untuk perkenalkan pakej mereka. Ketika ini sudah ada tiga syarikat insurans jenama besar menyatakan komitmen mereka untuk membantu mangsa bencana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Bantuan Wang Ihsan kepada 295 mangsa banjir monsun timur laut di daerah Dungun, di Dewan Perbandaran Dungun, di sini hari ini.

Salahuddin berkata, awal minggu depan, syarikat insurans berkenaan akan mengemukakan pakej yang bersesuaian antaranya kerosakan melibatkan kenderaan dan kediaman.

Justeru itu, beliau menyeru penduduk yang tinggal di kawasan kerap berlaku banjir untuk tampil mendaftar bagi membantu melengkapkan pangkalan data mangsa banjir tersebut.

"Penduduk yang berminat menyertai Insurans Rahmah hanya perlu membayar caruman pada harga Rahmah yang rendah dan mendapat perlindungan dalam jumlah yang setimpal," katanya. - Bernama