Geng Man Bezza aktif pecah rumah, kedai tumpas

Superintendan Ahmad Ridhwan (kiri) menunjukkan antara peralatan dirampas daripada suspek.
Superintendan Ahmad Ridhwan (kiri) menunjukkan antara peralatan dirampas daripada suspek.
A
A
A

KUALA LANGAT - Kumpulan penjenayah yang dikenali Geng Man Bezza dipercayai taktif kegiatan pecah rumah dan kedai sekitar daerah ini berjaya ditumpaskan menerusi tangkapan dua individu dalam serbuan di Pandamaran, Klang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, kedua-dua suspek yang diberkas dipercayai ahli kumpulan penjenayah itu berumur 32 dan 38 tahun.

Menurutnya, tangkapan dijalankan susulan laporan diterima daripada seorang guru tuisyen wanita berumur 44 tahun berkaitan kes pecah pejabat di Bandar Tropicana Aman, Saujana Putra pada 31 Oktober lalu melibatkan kehilangan sebuah komputer riba.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat berjaya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki warga tempatan di sekitar kawasan Pandamaran, Klang kira-kira jam 9.20 malam pada Selasa.

"Tangkapan pertama kemudian membawa kepada penangkapan seorang lagi suspek yang dipercayai rakan sejenayah suspek pertama kira-kira jam 10.05 malam di sekitar kawasan sama," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, menerusi tangkapan dijalankan polis berjaya merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.

"Antara dirampas ialah sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang digunakan semasa kejadian, dua telefon bimbit, sehelai baju, dua jam tangan dan dua helai seluar panjang.

"Turut dirampas dua topi, empat pasang kasut, satu beg galas, sebatang besi pembuka tayar yang diubah suai, sebatang pemutar skru dan satu playar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kedua-dua suspek yang diberkas merupakan lelaki warga tempatan.

"Semakan rekod jenayah kedua- dua suspek masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan kes narkotik.

"Siasatan mendapati suspek ini aktif dalam melakukan jenayah sejak tiga bulan yang lalu," katanya.

Ujar Ahmad Ridhwan, pihaknya percaya telah menyelesaikan sekurang lapan kes pecah kedai dan pecah pejabat di sekitar kawasan Saujana Putra yang dianggarkan kerugian sejumlah RM20,000.

"Kedua-dua suspek direman enam hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.