Selangor anjur 9 rumah terbuka Aidilfitri bermula malam ini

Amirudin - Foto Bernama
Amirudin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran Rumah Terbuka Jelajah #KitaSelangor Aidilfitri oleh kerajaan negeri Selangor di kesemua sembilan daerah akan bermula malam ini hingga 14 Mei.

Malam ini, Rumah Terbuka Aidilfitri akan diadakan di kawasan Sepang iaitu di tapak pasar pagi Pekan Salak bermula jam 8 hingga 11 malam.

Program rumah terbuka akan diteruskan di Padang Awam Hulu Bernam bagi daerah Hulu Selangor pada Sabtu serta padang Taman Sri Kerayong, Kapar bagi daerah Klang pada Ahad.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dijangka mencemar duli berangkat ke Rumah Terbuka Jelajah #KitaSelangor Aidilfitri di padang Taman Sri Kerayong pada 30 April ini.

Majlis yang merangkumi Rumah Terbuka Aidilfitri dan Rewang Sekampung itu juga bakal dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan pimpinan negeri.

Info penganjuran Rumah Terbuka Jelajah #KitaSelangor Aidilfitri.
Info penganjuran Rumah Terbuka Jelajah #KitaSelangor Aidilfitri.

Program akan diteruskan di tapak Agora Night Market, Taman Sri Nanding di Hulu Langat bermula jam 8 hingga 11 malam pada 5 Mei diikuti di tapak pasar malam Paya Jaras, Petaling bermula jam 11 pagi hingga 3 petang pada 6 Mei.

Pada 7 Mei pula, rumah terbuka berlangsung di Taman Perwira Sijangkang bagi daerah Kuala Langat dari jam 8 malam hingga 11 malam.

Sementara pada 12 Mei rumah terbuka diadakan di Dataran Tanah Lesen Parit Baru bagi daerah Sabak Bernam dari jam 8 malam hingga 11 malam.

Pada 13 Mei pula di Padang Awam Bukit Badong, Kuala Selangor bermula jam 8 malam hingga 11 malam dan 14 Mei di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak bermula jam 8 malam hingga11 malam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual hadir di Rumah Terbuka Sri Gombak pada 14 Mei ini.

Amirudin menerusi Facebooknya turut menjemput seluruh rakyat Selangor hadir bersama keluarga dan kenalan pada program Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan di kawasan masing-masing.