13 suspek kes pecah rumah diberkas

Hussein Omar Khan (tengah) menunjukkan pelbagai barang yang dirampas.
Hussein Omar Khan (tengah) menunjukkan pelbagai barang yang dirampas.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 13 lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dengan geng pecah rumah di negeri ini sejak Januari hingga April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, modus operandi kumpulan penjenayah itu adalah memakai topeng dan bersenjatakan parang ketika memecah masuk rumah mangsa.

“Kesemua suspek ditahan dalam serbuan di Selangor, Melaka dan Johor, polis turut merampas 14 telefon bimbit, wang tunai RM3,000, sebuah komputer riba dan dua kenderaan milik mangsa.

"Polis juga merampas dua kereta yang digunakan oleh suspek untuk melakukan jenayah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, pada Selasa.

Hussein berkata, kes terbaru, seramai tiga lelaki disyaki terlibat dalam kes pecah masuk dan melarikan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier di sebuah rumah di Kajang, pada 30 April lalu.

"Kesemua suspek itu melarikan diri setelah mendapati mangsa berada di rumah tersebut," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 34 kes pecah rumah dilaporkan di Selangor sejak Januari hingga April lalu.

"Dengan tertangkapnya 13 suspek ini, kita percaya enam kes pecah rumah berjaya diselesaikan, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan," katanya.