4 daerah di Terengganu berisiko banjir semula

Keadaan kawasan parit air di jalan Kampung Sungai Derhaka di Kuala Terengganu.
Keadaan kawasan parit air di jalan Kampung Sungai Derhaka di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penduduk di empat daerah di Terengganu iaitu Besut, Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman perlu mengambil langkah berjaga-jaga berikutan kemungkinan kembali berdepan gelombang banjir yang dijangka berlaku malam Rabu.

Berdasarkan notis amaran banjir dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu pada Rabu, bencana banjir mungkin melanda beberapa kawasan di lembangan Sungai Besut (Sungai Besut dan Sungai Keruing Ibu) iaitu di Jambatan Keruak, Kampung Bekok, Kampung Cegar Kubur, Kampung Cawangan dan kawasan sekitarnya bermula jam 9 malam ini.

Turut dijangka mengalami banjir ialah kawasan lembangan Sungai Dungun (Kampung Dendang, Kampung Tepus, Kampung Minda, Kampung Surau, Kuala Jengal dan kawasan sekitar) serta lembangan Sungai Paka (Kampung Luit dan kawasan sekitar).

Menurut notis itu, gelombang banjir juga mungkin melanda di Hulu Terengganu, Dungun dan Besut pada awal pagi iaitu jam 1 pagi pada Khamis.

Antara kawasan dijangka terlibat ialah kawasan berdekatan lembangan Sungai Terengganu iaitu Sungai Berang di Hulu Terengganu melibatkan Kampung Menerong dan kawasan sekitar, Sungai Dungun (Kampung Minda dan kawasan sekitar); Sungai Besut melibatkan Kampung La, Rumah Pam Pelangat dan kawasan sekitar, Kampung Nangka, Kampung Paya, Kampung Pinang, Kampung Parit, Kampung Lama, Kampung Pintu Gajah, Kampung Lampu, Kampung Baru dan kawasan sekitar.

Tambah notis itu, beberapa kawasan di lembangan Sungai Kemaman dan Sungai Dungun dijangka dilanda banjir jam 5 petang pada Khamis.

Antara kawasan terlibat ialah Kampung Pasir Gajah dan kawasan sekitar di Kemaman manakala di Dungun melibatkan Kampung Wa, Kampung Pak Riuh dan kawasan sekitar.

Menurut notis itu, bencana banjir boleh berlaku di lokasi dan waktu berkenaan sekiranya hujan signifikan berlaku di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Jelas notis itu, banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan dan notis itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk di kawasan dijangka banjir berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana.