Kerajaan perlu cadang langkah praktikal selesai isu kalimah ALLAH

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan perlu segera mencadangkan langkah praktikal yang tuntas bagi tujuan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan bagi menyelesaikan polemik isu penggunaan kalimah ALLAH.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata kerajaan boleh memohon perkenan Majlis Raja-Raja supaya diadakan sesi penjelasan kepada semua ketua agama mengenai keunikan situasi di Malaysia bahawa kalimah ALLAH tidak wajar dikongsi kegunaannya bagi tuhan dalam agama selain Islam.

"Duli-Duli Tuanku boleh memberi titah nasihat kepada ketua-ketua agama supaya sudi bekerjasama dalam menyelesaikan kemelut ini.

"Ia demi mengelak berlakunya konflik perkauman yang akan merugikan serta menyusahkan semua pihak di negara ini.

"Kadangkala kita perlu mengenepikan kepentingan yang kecil untuk menghindari kemudaratan yang lebih parah," katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan Pusat perlu bertindak segera kerana isu penggunaan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan dalam agama selain Islam, sudah lama dipolemikkan oleh pelbagai pihak di negara ini.

Beliau berkata, keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri telah dibuat iaitu melarang kalimah Allah digunakan untuk tuhan dalam agama selain Islam kerana ia adalah hak eksklusif bagi agama dan umat Islam.

"Namun nampaknya keputusan itu tidak diendahkan oleh pihak tertentu sehingga menyebabkan isu ini masih berlarutan serta belum lagi menemui noktahnya sehingga ke saat ini.

"Memang kegusaran Tuanku Yang Di-Pertuan Agong itu ada kewajarannya memandangkan isu ini adalah amat serius dan mampu menggugat keamanan negara dan menegangkan hubungan antara sesama rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

"Justeru, saya berpendapat pihak kerajaan perlu mencadangkan seberapa segera yang mungkin langkah-langkah praktikal yang tuntas bagi dipersembahkan kepada Ke bawah Duli Raja-raja dalam kadar segera untuk diperkenankan," katanya lagi.