Sekolah pondok diangkat sebagai produk pelancongan Islam

Abdul Khani (kanan) melihat jurnal pelancongan Islam bersama Haslina (tengah) selepas selesai perasmian Symposium On Islamic Tourism 2019 dan Majlis Pelancaran Islamic Tourism Journal Vol.1 2019 di Hotel Paya Bunga, di sini hari ini.
Abdul Khani (kanan) melihat jurnal pelancongan Islam bersama Haslina (tengah) selepas selesai perasmian Symposium On Islamic Tourism 2019 dan Majlis Pelancaran Islamic Tourism Journal Vol.1 2019 di Hotel Paya Bunga, di sini hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan akan mengenal pasti sekolah pondok yang dilihat berpotensi untuk dipromosikan sebagai produk pelancongan Islam melalui pelancongan pendidikan dalam usaha menarik pelajar luar datang ke Malaysia.

Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Datuk Seri Abdul Khani Daud berkata, pelancongan pendidikan itu merupakan salah satu daripada tujuh segmen kajian yang akan dibuat oleh agensi berkenaan pada tahun ini.

“Pelancongan pendidikan ini secara amnya kita mempromosikan pelajar-pelajar ke Malaysia, kita fokus kepada sekolah pondok. Kita mahu kenal pasti sekolah pondok sesuai dipromosikan sebagai pelancongan Islam yang dapat tarik pelancong dan pelajar datang ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Symposium On Islamic Tourism 2019 dan Majlis Pelancaran Islamic Tourism Journal Vol.1 2019 di Hotel Paya Bunga, di sini hari ini. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Budaya dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.

Symposium disertai lebih 150 peserta dari dalam dan luar negara itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya, Datuk Haslina Abdul Hamid yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni & Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi.

Menurut Abdul Khani, pihaknya juga bercadang menjadikan sekolah pondok berkenaan sebagai inap desa atau pusat pelancongan yang boleh dilawati pelancong bagi melihat sendiri pembelajaran serta kehidupan di sana.

“Ia boleh dijadikan pusat pelancongan, bukanlah bermaksud tukar keseluruhan tapi sekurang-kurangnya boleh dijadikan homestay supaya orang dapat datang melawat dan pelajar-pelajar contohnya dari Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia datang belajar agama,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khani turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang berusaha menjadikan Malaysia sebagai negara utama bagi destinasi pelancongan Muslim selepas lapan tahun berturut-turut berada pada kedudukan nombor satu.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, Malaysia kini berkongsi kedudukan dengan Indonesia dan antara usaha dilakukan adalah meningkatkan produk pelancongan yang ada dalam negara seperti makanan halal, lokasi menarik dan mempromosikannya kepada pelancong luar.

“Usaha lain adalah kita sedang promosikan Malaysia kepada negara Asia tengah seperti Uzbekistan dan Kazakhstan kerana kita lihat negara ini berpotensi besar datang berkunjung ke sini berikutan keunikan yang ada di sini berbanding negara mereka,” katanya.