Tema Hari Kebangsaan: Terengganu ikut Kerajaan Persekutuan

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan menggunakan logo dan tema bagi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini selari dengan Kerajaan Persekutuan sebagaimana diperkenalkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, persiapan bagi sambutan ulang tahun hari bersejarah yang akan diraikan di peringkat negeri itu telah diatur dan diteruskan seperti biasa.

"Ya, sama (penggunaan logo dan tema Hari Kebangsaan mengikut Putrajaya)," jawabnya ringkas ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp pada Isnin.

Sabtu lalu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menarik perhatian selepas memberitahu bahawa empat negeri di bawah pemerintahan PN iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu mungkin akan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN.

Logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang dengan tema 'Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera'.

Bagaimanapun, setelah menerima kritikan daripada banyak pihak, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan memaklumkan perkara tersebut hanyalah cadangan Pemuda PN sebagai alternatif logo dan tema sambutan.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dalam kenyataan pada Isnin memuji keputusan Terengganu untuk tetap menggunakan logo dan tema sambutan Hari Kebangsaan yang sama seperti ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, Hari Kebangsaan perlu disambut oleh semua pihak tidak kira fahaman politik dalam semangat penyatuan demi negara Malaysia yang disayangi.

Artikel Berkaitan:

"Kenyataan Menteri Besar Terengganu adalah tepat pada masanya. Apa jua perbezaan pendapat hendaklah diketepikan demi membina negara yang lebih makmur dengan semangat kejayaan kita menyambut Hari Kebangsaan bersama.

"Tanggungjawab ahli politik serta wakil rakyat yang ikhlas adalah untuk membantu rakyat dengan meringankan beban harian mereka dan bukan menambahkan kemelut serta bebanan dalam hidup mereka dengan berpolitik tidak berkesudahan," katanya.

Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan tema “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” akan digunakan bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tema Hari Kebangsaan berbeza bersifat politik - Adam Adli

Perlis cuma tolak logo, tiada masalah ikut tema Hari Kebangsaan

Siasat Ketua Pemuda PN lancar logo, tema Hari Kebangsaan berbeza - Amanah

Jangan politikkan tema, logo Hari Kebangsaan - Ahmad Zahid

Tema Hari Kebangsaan ajak rakyat kukuhkan perpaduan, bersatu hadapi cabaran

Hari Kebangsaan: Cadang guna tema, logo berbeza khianati prinsip federalisme

Hari Kebangsaan sambutan negara, tidak patut ada perbezaan - Fahmi

Guna logo, tema berbeza bawa perpecahan lebih besar - Ahmad Maslan

AMK gesa Pemuda PN batal hasrat guna logo, tema berbeza