Dua beradik pura-pura jadi pelanggan sebelum samun

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Berpura-pura seperti pelanggan sebelum mengeluarkan parang dan mengugut pekerja di dua kedai serbaneka di Skudai di sini pada Khamis.

Itu modus operandi dua lelaki yang merupakan adik-beradik semasa melakukan samun di dua kedai serbaneka tersebut sebelum melarikan diri.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitendan Fariz Ammar Abdullah, sebelum itu dua beradik berkenaan masuk ke kedai serbaneka tersebut dengan memakai topi keledar dan memilih barang bagi mengelak dicurigai.

"Apabila berada di kaunter seorang daripada suspek mengacukan parang yang disembunyikan dalam baju dan mengugut pekerja di kaunter supaya menyerahkan hasil jualan sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal yang ditunggang abang suspek.

"Bagi mengelak dikesan polis selepas melakukan jenayah tersebut, kedua-dua suspek yang berusia 33 dan 39 tahun akan menyembunyikan diri di rumah keluarga mereka di kawasan perumahan di Layang Layang, Kluang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Johor kemudian menubuhkan satu pasukan khas dan hasil risikan berjaya menahan dua suspek berkenaan pada Khamis.

Pihaknya turut merampas sebuah motosikal, topi keledar dan pakaian suspek semasa melakukan jenayah tersebut.

Fariz Ammar memberitahu, dua beradik tersebut merupakan penganggur serta mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah selain saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamin.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga 7 Disember ini, kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama.

Jelas beliau, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan boleh didenda atau disebat manakala bagi kesalahan dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.