Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru 27 Mei ini

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang ditangguh dan digantung sejak 18 Mac lepas akan diadakan pada jam 9 pagi, 27 Mei ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Abdul Halim Suleiman, namun beliau berkata, lokasi pemilihan masih belum dimuktamadkan kerana ia tertakluk kepada caretaker UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

"Kita (UMNO Johor) diberikan tanggungjawab untuk menyelaras perkara itu, namun UMNO Bahagian Johor Bahru akan mengeluarkan notis dalam tempoh 14 hari," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Jumaat.

Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, proses pemilihan itu akan melibatkan jawatan di peringkat Bahagian antaranya Pengerusi Tetap, Ketua Bahagian, Timbalan dan Naib Ketua Bahagian.

Pada 18 Mac lepas, proses pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru dilaporkan ditangguh dan digantung selepas terdapat dakwaan kertas undi melebihi daripada jumlah perwakilan yang hadir.

Pada 1 April lepas, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor berkata proses pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang ditangguh dan digantung akan diambil alih oleh Badan Perhubungan UMNO negeri.

Sebelum ini, proses pemilihan UMNO dikendalikan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!