Pos Malaysia buka kedai serbaneka pertama

Pos Shop di Pejabat Pos Medan Tuanku, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Pos Shop di Pejabat Pos Medan Tuanku, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
A
A
A

SHAH ALAM - Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) membuka kedai serbaneka pertamanya, Pos Shop, di Pejabat Pos Medan Tuanku, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Pos Malaysia dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, kedai berkenaan merupakan sebahagian daripada perjalanan transformasi strategik syarikat.

"Ia berfungsi sebagai model untuk pembangunan masa hadapan di pejabat pos terpilih dalam negara, dengan matlamat untuk mencipta pengalaman yang lebih menarik sambil menawarkan kemudahan runcit di pejabat pos.

"Dengan memanfaatkan jangkauan dan titik sentuh Pos Malaysia di seluruh negara, kedai serbaneka tersebut menawarkan pelbagai pilihan minuman, pencuci mulut, makanan ringan dan produk penjagaan diri pada harga yang sangat kompetitif," katanya.

Pos Shop beroperasi selama tujuh hari seminggu bermula 8 pagi hingga 8 malam.