Demi gaya mewah, sanggup beli kereta klon

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Datuk Lokman Jamaan (tiga,kiri) melihat salah sebuah kereta klon di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Selangor di sini pada Khamis.
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Datuk Lokman Jamaan (tiga,kiri) melihat salah sebuah kereta klon di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Selangor di sini pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Bergaya dengan kereta mewah biarpun menggunakan kereta klon, itu antara nafsu mereka yang mahu nampak bergaya namun dalam masa sama tidak sedar bahaya yang menanti.

Selain dari tindakan undang-undang, pemilik kenderaan klon ini tiada perlindungan insurans, selain tiada jaminan keselamatan diri dan keluarga sekiranya terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Mendedahkan kepada media, Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Datuk Lokman Jamaan berkata, golongan muda antaranya dikesan menjadi peminat utama kenderaan klon ini.

"Sindiket kenderaan klon ini menyasarkan golongan berumur antara 25 hingga 40 tahun yang mana dilihat mahu bergaya namun dengan jalan mudah tanpa memikirkan implikasi undang-undang.

"Harga serendah 3,000 sehingga 5,000 dolar Singapura bagi sebuah kereta mewah antaranya BMW, Mercedes, Honda, Toyota dan pelbagai lagi jenama lain antara yang ditawarkan kepada pembeli," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Selangor di sini pada Khamis.

Katanya, siasatan mendapati kenderaan mewah ini dibawa masuk daripada Singapura.

"Sindiket penyeludupan ini membawa masuk kenderaan ini daripada Singapura yang mana memiliki Certificate of Entitlement (COE) dengan tempoh antara tiga hingga tujuh hari sebelum dilupuskan.

Artikel Berkaitan:

"Kenderaan mewah ini kemudian dibawa masuk ke negara ini dan dijual dengan harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran sebenar mengikut jenis model kenderaan," katanya.

Menurutnya, antara faktor yang dilihat sindiket kenderaan klon ini mudah menarik pembeli adalah menerusi media sosial.

"Sindiket bijak memperdaya mangsa yang terdiri daripada golongan muda ini dengan mempromosi kereta ini menerusi media sosial seperti Telegram, Facebook, WeChat dan aplikasi jualan kenderaan secara talian.

"Dengan tawaran harga yang rendah, selain urusan yang didakwa lebih mudah berbanding pembelian kereta secara sah sekali gus menarik minat pembeli untuk mendapatkan kereta sebegini," katanya.

Ujar Lokman, pihaknya memberi amaran keras kepada mereka yang terlibat dalam sindiket kenderaan klon ini.

"Tindakan tegas bukan sahaja kepada sindiket sekiranya tertangkap malah kepada pemilik kereta klon ini juga, sekiranya tertangkap kenderaan klon yang dimiliki anda akan dirampas selain anda turut akan dikenakan tindakan undang-undang.

"Apa yang paling berisiko adalah, pemilik kereta klon ini tiada perlindungan insurans, dan sekali gus ini akan memberikan kesan bukan sahaja kepada individu itu sendiri malah kepada keluarga," katanya.

Katanya, untuk rekod bermula bermula 2011 sehingga kini, jumlah tangkapan kes kenderaan klon di Selangor amat tinggi.

"Statistik mencatatkan tangkapan melibatkan jumlah sebanyak 329 kes bermula 2011 sehingga 2022.

"Setakat ini juga JPJ Selangor sendiri telah melaksanakan pelupusan kenderaan klon menerusi lelongan awam dengan penjualan sebanyak 234 kenderaan dan sebanyak 46 kenderaan melibatkan pelbagai jenis dan model telah dilelong pada 2022 sekali gus menyumbang kepada kutipan hasil kerajaan sebanyak RM4.7 juta," katanya.