Tiga kawasan di Shah Alam bakal sesak minggu akhir Ramadan

SHAH ALAM - Tiga lokasi di Shah Alam dijangka mengalami kesesakan susulan persiapan masyarakat menyambut Aidilfitri menjelang minggu akhir Ramadan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tiga lokasi dikenal pasti melibatkan Seksyen 13, Seksyen 24 dan Seksyen 7.
"Ketiga-tiga lokasi ini dikenal pasti menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli-belah di premis perniagaan dan bazar raya kawasan tersebut.
"Susulan itu, rondaan dan tindakan penguatkuasaan akan ditingkatkan di lokasi berkenaan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang didapati meletakkan kenderaan sehingga menghalang lalu lintas," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada Rabu.