Tiada kes dibaham buaya tapi latihan musim tengkujuh

JBPM Pasir Puteh menafikan operasi menyelamat yang diadakan di Sungai Tok Ajam pada Selasa melibatkan kes individu dibaham buaya.
JBPM Pasir Puteh menafikan operasi menyelamat yang diadakan di Sungai Tok Ajam pada Selasa melibatkan kes individu dibaham buaya.
A
A
A

PASIR PUTEH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Puteh menafikan operasi menyelamat yang diadakan di Sungai Tok Ajam di sini pada Selasa melibatkan kes individu dibaham buaya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmy Mustofar bagaimanapun menyelar tindakan individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu tersebut.

"Berita tular di media sosial itu adalah palsu.

"Tiada sebarang kejadian yang membabitkan dua mangsa kononnya dibaham buaya di Sungai Tok Ajam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Menurut beliau, sungai berkenaan adalah lokasi simulasi yang melibatkan semua agensi barisan hadapan bagi menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.

Tambah beliau, latihan itu telah disalah tafsirkan sehingga menimbulkan kegusaran awam.

Azhar berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab itu dinasihatkan agar memadam segera hantaran palsu yang tidak merujuk kepada sumber yang sahih.

"Perkongsian gambar tangan yang cedera parah itu adalah kejadian di Jeli akibat serangan babi bukannya buaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, kecoh di aplikasi WhatsApp apabila ramai yang berkongsi pesanan suara dan gambar mendakwa mangsa dibaham buaya dan pihak JBPM sedang mengadakan operasi menyelamat mangsa berkenan.

Kandungan suara itu berbunyi:

"We mung dok mano we, ada ore keno kekoh boyo di retok Tok Aji, make boyo doh sore, wat sore lagi pah spital doh keno kekoh tangan.

"Sapo nok mari tengok ore kekoh boyo, ore dok cari di retok Tok Aji Pasir Puteh, ramai doh bomba orang awam, xjupo lagi sore."