Identiti nelayan dibaham buaya dikenal pasti - Bomba

Pos kawalan bomba bagi SAR mangsa dibaham buaya di pantai Kampung Makuau Lahad Datu.
Pos kawalan bomba bagi SAR mangsa dibaham buaya di pantai Kampung Makuau Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU - Identiti nelayan yang disyaki dibaham buaya di pantai Kampung Makuau di sini pada Jumaat telahpun dikenal pasti oleh pasukan bomba.

Mangsa dikenali sebagai Rusbin Asri, 40, namun sehingga kini belum ditemui oleh pasukan penyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, sepasukan anggotanya dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 56 kilometer dari balai.

"Kejadian itu melibatkan mangsa yang telah dibaham buaya ketika sedang melakukan aktiviti memukat di pesisiran pantai.

"Menurut saksi, kejadian disedari oleh penduduk kampung yang terlihat mangsa berada di atas bot dan telah dibaham buaya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua dimulakan pada jam 9.34 pagi Sabtu bersama beberapa agensi penyelamat yang lain.

"Antara agensi penyelamat yang terlibat ialah Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Felda Sahabat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan terdapat mangsa dipercayai telah dibaham buaya selepas bot dilihat dalam keadaan terbalik dan dalam masa sama, seekor buaya dilihat turut melibaskan ekornya di lokasi kejadian.