Mayat nelayan dibaham buaya ditemui terapung

Mayat mangsa cuba dibawa naik oleh pasukan bomba di perairan Kampung Nala Lama Tungku, Lahad Datu.
Mayat mangsa cuba dibawa naik oleh pasukan bomba di perairan Kampung Nala Lama Tungku, Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU - Mayat nelayan disyaki dibaham buaya ditemui terapung di di perairan Kampung Nala Lama Tungku pada Isnin.

Mayat Rusbin Asri, 40, ditemukan oleh orang awam pada jam 6.45 pagi Isnin kira-kira 15 kilometer dari mangsa dilaporkan dibaham buaya dalam kejadian Jumaat lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat itu daripada pihak polis.

"Mayat ditemui kira-kira 15 kilometer dari mangsa dilaporkan dibaham buaya dalam kejadian Jumaat lalu.

"Pasukan bomba dan agensi bantuan bergerak ke lokasi dan seterusnya mayat dibawa ke Kampung Makuau untuk proses pengecaman daripada pihak keluarga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Katanya, mangsa kemudian disahkan sebagai nelayan yang dilaporkan dalam kejadian ini dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan mangsa itu terdapat empat sangkar buaya telah dibuat pengecaman.

"Ini bagi mengesan jika terdapat mangsa berada di dalam sangkar berkenaan, namun berikutan penemuan mayat itu operasi ditamatkan hari ini," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan mangsa yang sedang memukat di pesisir pantai dipercayai dibaham buaya selepas bot yang dinaikinya terbalik manakala terdapat seekor buaya dilihat sedang melibas ekornya di lokasi sama.