Buruh didakwa di mahkamah kerana pukul isteri

Mohd Asrol (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Rabu.
Mohd Asrol (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan memukul isterinya pada Ogos lalu.

Tertuduh, Mohd Asrol Kamal Mohd, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan tangan terhadap isterinya yang berusia 25 tahun di dalam kereta di Kampung Langgar Tapang Panji di sini, jam 12.01 tengah malam pada 15 Ogos lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yusnaliza Mohammad Yusoff, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.

Pada prosiding itu, Yusnaliza mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Siti Atikah pula memohon mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh kerana lelaki itu adalah penanggung tunggal keluarga.

Artikel Berkaitan:

“Dia mempunyai isteri dan tiga anak selain menanggung ibu bapa.

“Saya memohon jaminan yang rendah kepada tertuduh,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,800 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan

Kes ditetapkan sebutan semula pada 20 Disember depan.