Buruh didakwa bunuh lelaki di restoran makanan segera

Kim San (tengah) dikawal polis keluar dari bilik Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada Ahad.
Kim San (tengah) dikawal polis keluar dari bilik Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada Ahad.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah restoran makanan segera di Rantau Panjang pada tahun 2017.

Tertuduh, Saw Kim San, 37, didakwa di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Lee Boon Guan, 39, pada jam 5.58 petang, 17 Ogos 2017.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Syafiq Aizat Nazri sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 15 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki yang menikmati makanan segera bersama seorang wanita berusia 30-an di tingkat satu premis berkenaan didatangi suspek dan terus menikam mangsa.

Mangsa yang mengalami kecederaan di belakang dan dada meninggal dunia di lokasi kejadian.