Permohonan 4 ADUN pinda saman pemula ditolak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk meminda saman pemula mereka bagi menghalang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang daripada meluluskan usul untuk mengosongkan kerusi mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad dalam keputusan yang dihantar melalui e-mel kepada kedua-dua pihak berkata, pindaan untuk memasukkan Perkara (10)(a) Perlembagaan Persekutuan akan mengubah keseluruhan saman pemula itu, dan ia harus dibuat melalui saman pemula baharu.

Perkara 10 (a) adalah berhubung dengan sekatan kebebasan Ahli Parlimen daripada menggunakan hak perlembagaan mereka, iaitu kebebasan bersuara.

"Walaupun mahkamah ini bersetuju bahawa tiada unsur penyalahgunaan keputusan mahkamah tidak bona fide, mahkamah ini berpendapat pindaan ini tidak wajar diberikan kerana jelas pindaan ini akan menimbulkan karekter baharu kepada saman pemula,” katanya.

Beliau berkata, dalam kes itu, plaintif telah memfailkan punca tindakan mereka untuk mencabar Perkara 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, dan isu itu telah dirujuk ke Mahkamah Persekutuan, dan ia telah diputuskan.

Dalam kes ini, mahkamah ini dengan jelas menyatakan bahawa memandangkan ia melibatkan tafsiran Perlembagaan Negeri dan Persekutuan, Mahkamah Persekutuan adalah forum yang sesuai.

"Pada peringkat ini, jika pindaan dibenarkan yang turut melibatkan Perlembagaan Negeri dan Persekutuan, maka ia tidak boleh diputuskan di mahkamah ini.

"Dalam pindaan itu jelas bahawa plaintif telah menyentuh struktur asas Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 4(4) dan Perkara 128 (a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 2020, empat ADUN iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) sebagai plaintif telah memfailkan saman pemula terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya Datuk Law Choo Kiang bagi mencabar Perkara 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dan menghalang empat kerusi terbabit daripada diisytiharkan kosong, menurut Perkara 14A(1).

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika dia meletak jawatan, dipecat keanggotaan, bersara dari politik, atau dipilih sebagai calon oleh parti politik lain. - Bernama