Kenyataan Sanusi gores hati rakyat Pulau Pinang - Guan Eng

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN - Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung Pulau Pinang milik Kedah menggores hati dan menghina rakyat Pulau Pinang.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng berkata, kenyataan Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu juga mencabar kedaulatan Pulau Pinang, menggugat perpaduan negara serta tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Muhammad Sanusi juga didakwa sanggup menghasut sentimen orang ramai demi pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan nanti.

"Beliau bukan sosok cintakan keamanan dan keharmonian dalam negara ini selain merupakan pemimpin yang sangat berbahaya kepada negara.

"Saya berharap agar rakyat Pulau Pinang dapat melihat dengan jelas wajah sebenar Perikatan Nasional (PN). Ini aksi untuk elak rakyat fokus kepada kegagalan pemimpin negeri terutamanya isu air.

"Saya juga percaya rakyat Pulau Pinang mempunyai mata yang tajam dan pastinya akan melindungi Pulau Pinang dari kerakusan kuasa pemimpin PN," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Selasa.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kenyataan Muhammad Sanusi itu juga mampu menjejaskan perpaduan negara selain melanggar Perlembagaan Persekutuan.

"Jalur Gemilang ada bintang pecah 14 dan 14 jalur melambangkan 13 buah negeri (termasuk Pulau Pinang) dan Wilayah Persekutuan. Jata Negara Malaysia ada imej pokok pinang dan Jambatan Pulau Pinang yang mewakili negeri Pulau Pinang.

"Perlembagaan Persekutuan memberikan keabsahan kepada kedudukan Pulau Pinang sebagai salah satu daripada 13 negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia. Selain itu, Pulau Pinang dan Kedah telah mewartakan enakmen negeri yang meletakkan sempadan negeri di 'garis pusat' Sungai Muda pada 1985.

"Enakmen ini menyatakan sebahagian daripada Sungai Muda dimiliki oleh Pulau Pinang, maka Pulau Pinang berhak untuk menimba air dari Sungai Muda. Selain itu, ada batu penanda sempadan di Pinang Tunggal yang bertujuan membahagikan kawasan antara Kedah dan Pulau Pinang," katanya lagi.

Guan Eng turut mendakwa Muhammad Sanusi sengaja tidak peduli dan tidak mahu mendengar kesemua fakta tersebut.

"Sebagai Menteri Besar Kedah, beliau tak nak tengok, tak nak dengar dan tak peduli. Dalam keadaan sedar, beliau buat kenyataan bahawa 'Pulau Pinang masih hak Kedah', membayangkan dasar Pas kini adalah untuk meletakkan Pulau Pinang di bawah negeri Kedah.

"Dengan pendirian sedemikian, kenapa Pas masih nak tanding di Pulau Pinang dan bagaimana Pas boleh mewakili rakyat Pulau Pinang?

"Kita juga mahu tahu adakah ADUN Pas di Pulau Pinang dan rakan sekutu PN (Bersatu dan Gerakan) akan bangun mempertahankan kedaulatan Pulau Pinang dan hak anak negeri Pulau Pinang, menentang kenyataan Sanusi dan meminta beliau minta maaf kepada rakyat Pulau Pinang?" katanya.

Pada Isnin, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri tersebut yang mana, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

Muhammad Sanusi turut mendakwa, pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah 'terlepas' dari Kedah.