Terengganu siasat isu pelancong sakit selepas bercuti

Kerajaan Terengganu memandang serius isu pelancong yang dilaporkan jatuh sakit selepas pulang dari bercuti di Pulau Perhentian, Besut baru-baru ini. Gambar kecil: Ariffin
Kerajaan Terengganu memandang serius isu pelancong yang dilaporkan jatuh sakit selepas pulang dari bercuti di Pulau Perhentian, Besut baru-baru ini. Gambar kecil: Ariffin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu memandang serius isu pelancong yang dilaporkan jatuh sakit selepas pulang dari bercuti di Pulau Perhentian, Besut baru-baru ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, semua agensi terlibat diarah segera menjalankan siasatan untuk mencari dan menilai punca kejadian.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menjelaskan isu sebenar yang berlaku dan laporan penuh akan menyusul apabila siasatan lengkap.

"Memandangkan isu-isu sebegini boleh memberi kesan kepada sektor pelancongan negeri ini, kerajaan tidak teragak-agak menggunakan segala tindakan perundangan sedia ada dengan tegas jika ada premis tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Bagi mengatasi isu aduan sistem kumbahan di Pulau Perhentian pula, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar (KASA) sedang berusaha untuk membina Loji Kumbahan Bersepadu (STP) bagi menangani isu-isu berkaitan pencemaran kumbahan.

"Selain itu, susulan daripada aduan sebelum ini, pihak KASA dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK) sedang dalam tindakan menjalankan Pelupusan Enapcemar secara keseluruhan di Pulau Perhentian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut Ariffin berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu sentiasa menjalankan program pengawasan kualiti air marin secara berkala di Pulau Perhentian.

Jelas beliau, keputusan pengawasan kualiti air marin pada Jun sehingga September lalu telah menunjukkan kualiti air pada tahap yang terbaik.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Negeri sangat komited dalam menjaga keselesaan dan keselamatan pelancong yang datang bercuti di pulau-pulau peranginan di Terengganu.

"Hal-hal yang mendatangkan kesan tidak baik kepada pelancong dan pengunjung di negeri ini akan diberi perhatian dan diambil tindakan yang sewajarnya demi memastikan kelangsungan sektor pelancongan negeri Terengganu," katanya.

Pada Jumaat, sebuah portal berita melaporkan kira-kira 40 pelancong mendakwa jatuh sakit selepas pulang dari bercuti di pulau berkenaan baru-baru ini.

Berdasarkan artikel yang disiarkan, mangsa mendakwa mereka yang terdiri 27 dewasa, tujuh kanak-kanak serta enam kanak-kanak kecil mengalami muntah-muntah, manakala sebahagian daripada mereka mengalami cirit-birit dan demam panas sehingga dimasukkan ke hospital.

Katanya, seorang kanak-kanak berusia setahun disahkan menghidap kepialu, manakala dua lagi kanak-kanak mengalami keracunan darah.

Keadaan sama turut dilaporkan berlaku pada Jun lalu di mana enam wanita mendakwa mengalami keracunan makanan walaupun mematuhi nasihat supaya hanya makan makanan di resort tempat mereka menginap.