[VIDEO] Saksi tidak setuju wujud konspirasi jatuhkan reputasi Ebit Lew

Ebit ketika beredar dari Mahkamah Majistret Tenom selepas selesai menghadiri perbicaraan kedua bagi kes gangguan seksual beliau di Tenom.
Ebit ketika beredar dari Mahkamah Majistret Tenom selepas selesai menghadiri perbicaraan kedua bagi kes gangguan seksual beliau di Tenom.
A
A
A

TENOM - Saksi pendakwaan, Mohd Fairuz Abu, 37, menolak cadangan peguam bela di Mahkamah Majistret di sini, bahawa terdapat konspirasi untuk menjatuhkan reputasi pendakwah terkenal, Ebit Lew.

Beliau malah tidak pernah menyiarkan lagi hantaran berkaitan kes gangguan seksual membabitkan Ebit selepas laporan polis dibuat oleh seorang wanita pada 7 Ogos 2021.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas daripada peguam Ram Singh kepada Mohd Fairuz pada perbicaraan hari kedua melibatkan Ebit di mahkamah itu.

"Saya tidak setuju," kata Mohd Fairuz ketika Ram mencadangkan bahawa menerusi isu itu di media sosial dan membuat pengaturan kepada wanita berkenaan untuk ke Bukit Aman bagi membuat laporan polis, beliau dan Firdaus Wong telah berkonspirasi untuk merosakkan reputasi tertuduh.

Sementara itu, ketika dalam pemeriksaan semula pihak Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria meminta Mohd Fairuz menjelaskan kenapa tidak bersetuju bahawa dia memainkan peranan aktif dalam kes berkenaan.

"Saya sebagai pemudahcara mangsa dan kemudian mencadangkan kepada mangsa untuk berhubung terus dengan peguam MRM (Multiracial Reverted Muslims).

"Jadi saya hanya berhubung dengan wanita itu pada 26 dan 27 Julai 2021 sahaja," katanya.

Mohd Fairuz turut menjelaskan bahawa dia hanya hadir ke Bukit Aman sebagai memberi sokongan kepada wanita itu bersama suaminya selain memberi keterangan kepada pihak polis pada 7 Ogos 2021.

Artikel Berkaitan:

Zahida juga turut meminta penjelasan daripada Mohd Fairuz bahawa beliau bersetuju membuat aturan bersama Firdaus Wong ke Bukit Aman untuk membuat laporan polis.

"Saya dan Firdaus Wong meminta peguam MRM untuk mendapatkan maklumat wanita itu dan suaminya agar dibelikan tiket kapal terbang, itu yang saya maksudkan," katanya.

Perbicaraan hari kedua Ebit ditangguhkan pada Rabu dan akan disambung semula pada jam 9.30 pagi Khamis, pihak pendakwaan dijangka memanggil dua saksi baharu.

Sebelum ini, perbicaraan yang berlangsung selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.

Ebit pula diwakili barisan peguamnya yang terdiri daripada Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ebit berhadapan dengan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.