Laporan dibuat di Bukit Aman, lindungi identiti, keselamatan

Ebit Lew bersyukur kerana perjalanan kes yang dihadapinya sudah bermula.
Ebit Lew bersyukur kerana perjalanan kes yang dihadapinya sudah bermula.
A
A
A

TENOM - Mahkamah Majistret Tenom pada Selasa dimaklumkan bahawa laporan polis berhubung kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal Ebit Lew dibuat di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Ia dedahkan oleh saksi pertama pendakwaan, Mohd Fairuz Abu, 37, dalam pemeriksaan balas prosiding perbicaraan Ebit Lew, 37 atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim.

Mohd Fairuz memberitahu mahkamah bahawa dia tahu laporan polis dibuat oleh seorang wanita adalah bersebab.

"Saya tahu kerana wanita itu memberitahu saya Tenom ini kecil dan ramai orang boleh tahu bila beliau buat laporan polis. Laporan di Bukit Aman bertujuan untuk keselamatan beliau," katanya bagi menjawab soalan daripada peguam Kamarudin Mohmad Chinki.

Dalam pemeriksaan balas yang sama, Kamarudin bertanya adakah ini bermaksud semua balai polis di Sabah kecil dan semua orang boleh tahu termasuk Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kepayan, Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, Mohd Fairuz tidak bersetuju dengannya dan memberitahu bahawa itu adalah permintaan wanita itu sendiri.

"Lagi pun beliau mengatakan balai polis Tenom ada saudaranya jadi beliau takut untuk melaporkan di sana," katanya.

Malah beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia tidak pasti soalan pemeriksaan balas yang mengatakan bahawa adakah di balai polis di Sabah semuanya keluarga wanita itu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fairuz dalam pemeriksaan balas seterusnya bersetuju bahawa dia dan Firdaus Wong yang mengatur wanita itu ke Bukit Aman untuk membuat laporan polis pada 7 Ogos 2021.

Sementara itu, Ebit ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah menyatakan rasa bersyukur kerana perjalanan kes sudah bermula.

"Saya rasa bersyukur, gembira walau berat ujian ini, saya macam tak sabar sebab sudah setahun saya tunggu, kalau boleh tahun lepas lagi saya nak selesaikan.

"Sebab saya bergerak ke mana-mana, itulah pandangan orang, sebutan orang jadi saya dah diuar-uarkan tak baik merata-rata, gambar yang tak baik, entah siapa-siapa kan. Jadi saya tak sabar.

"Saya dalam keadaan tenang, gembira, senyum dari tadi," katanya ketika ditanya perasaan sepanjang berada di kandang tertuduh di dalam mahkamah.

Sebelum itu, perbicaraan pendakwah berkenaan ditangguhkan pada jam 4.30 petang dan akan disambung semula pada jam 9.30 pagi Rabu.

Perbicaraan yang berlangsung selama empat hari dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri, Nur Masrin Amalia manakala Ebit diwakili barisan peguamnya yang terdiri daripada Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ebit berhadapan dengan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.