Tiada sebab AGC teliti semua kes pendakwaan - Peguam Negara

Tan Sri Idrus Harun
Tan Sri Idrus Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Rabu menegaskan jabatan itu tidak mempunyai sebab atau alasan yang munasabah untuk meneliti semula semua kes yang telah didakwa di mahkamah.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, setiap keputusan untuk pendakwaan dibuat setelah meneliti dan menimbangkan dengan sepenuhnya semua keterangan yang ada dan dibentangkan oleh agensi-agensi penguat kuasa serta menurut undang-undang berkaitan.

"Tidak terdapat sebarang campur tangan politik atau tekanan untuk memulakan apa-apa pendakwaan. Jabatan Peguam Negara sentiasa bertindak secara bebas dan profesional, mengikut tatacara yang telah ditetapkan dalam memulakan pertuduhan terhadap mana-mana individu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mendesak Peguam Negara supaya menyemak dan mengkaji semula semua pendakwaan terpilih terhadap pimpinan Bersatu dan PN untuk tujuan ditarik balik.

Desakan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa yang melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.

Mengulas lanjut, Idrus berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Pengerusi PN itu hanya melibatkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat hanya berdasarkan ruang lingkup permohonan yang telah difailkan oleh pemohon.

"Notis rayuan telah difailkan oleh pihak pendakwaan untuk mencabar keesahan keputusan itu manakala tiga pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 masih kekal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Idrus berkata, pihaknya memandang serius kenyataan yang berkecenderungan menjejaskan kredibiliti AGC dan menggesa semua pihak supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan yang mencadang atau membayangkan bahawa integriti dan kebebasan jabatan itu telah dikompromi oleh campur tangan politik atau pengaruh yang tidak wajar.

"Jabatan Peguam Negara selanjutnya menegaskan bahawa jabatan ini bertindak secara bebas dan profesional pada setiap masa dalam menjalankan fungsi Jabatan Peguam Negara untuk menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam Negara rayu keputusan mahkamah bebas Muhyiddin

Muhyiddin didakwa kes rasuah RM232.5 juta, ubah wang haram RM195 juta

Muhyiddin didakwa atas pertuduhan ke-7, terima wang haram RM5 juta

Muhyiddin PM kedua selepas Najib diheret ke mahkamah

Pendakwaan mohon semua kes Muhyiddin dibicara bersama

4 kes salah guna kuasa terhadap Muhyiddin wajar diketepikan - Peguam

Muhyiddin dibenar guna ikat jamin RM2 juta di Mahkamah KL

[VIDEO] Muhyiddin bebas 4 kes salah guna kuasa libat suapan RM232.5 juta

'Sejak awal lagi pertuduhan bermotifkan politik' - Muhyiddin

AGC akan failkan rayuan berhubung pembebasan Muhyiddin petang ini

Peguam Negara rayu keputusan mahkamah bebas Muhyiddin