Hotel 'mesra gay' diarah tutup sehari, pemilik dipanggil beri penjelasan - Exco

Laporan Sinar Harian berhubung dakwaan sebuah hotel 'mesra gay' di Melaka yang mendapat perhatian kerajaan negeri selepas tular di media sosial apabila dibangkitkan oleh seorang pendakwah bebas pada Isnin.
Laporan Sinar Harian berhubung dakwaan sebuah hotel 'mesra gay' di Melaka yang mendapat perhatian kerajaan negeri selepas tular di media sosial apabila dibangkitkan oleh seorang pendakwah bebas pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama dengan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu di sebuah hotel di sini susulan timbul dakwaan premis berkenaan 'mesra gay'.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata operasi itu dijalankan berikutan perkara terbabit tular di laman sosial selepas dibangkitkan oleh seorang pendakwah bebas pada Isnin.

"Berdasarkan pemeriksaan terhadap 37 bilik di hotel berkenaan, pihak berkuasa tidak mengesan sebarang kesalahan syariah di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

"Bagaimanapun, pemeriksaan di sebuah bilik yang didapati tidak berkunci menemukan keadaan bilik yang berselerak seolah-olah baru digunakan, selain terdapat dua helai tuala pada penyangkut serta dua kotak kondom di dalam tong sampah bilik berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Rahmad berkata, individu yang terlibat tidak dapat dikenal pasti kerana bilik itu didapati kosong ketika operasi dijalankan.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, operasi berkenaan dilaksanakan mengikut peruntukan Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, melibatkan Seksyen 56 (Liwat), Seksyen 57 (Percubaan Liwat) dan Seksyen 58 (Perhubungan Jenis Luar Tabii).

"Tindakan pentadbiran turut diambil oleh MPHTJ apabila lesen perniagaan hotel berkenaan disita bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan memandangkan pemilik premis tidak berada di lokasi ketika operasi.

"Hotel diarahkan tutup selama satu hari dan pemilik premis dipanggil ke MPHTJ untuk memberikan penjelasan. Sekiranya penjelasan yang dikemukakan didapati memuaskan, lesen berkenaan akan dikembalikan, namun tindakan lanjut boleh diambil sekiranya sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, Rahmad menasihati umat Islam agar menjauhi amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kerana bertentangan dengan hukum syarak serta norma masyarakat selain menyalahi peruntukan undang-undang sedia ada di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, JAIM akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pematuhan undang-undang dan memelihara keharmonian masyarakat di Melaka. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Jabatan Agama Islam Melaka bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya menjalankan operasi penguatkuasaan di sebuah hotel atas dakwaan 'mesra gay'
  • Operasi dijalankan susulan tularnya dakwaan di laman sosial yang dibangkitkan oleh seorang pendakwah bebas
  • Pemeriksaan terhadap 37 bilik tidak mengesan sebarang kesalahan syariah
  • Pemeriksaan di sebuah bilik menemukan bilik berselerak, dua helai tuala, dan dua kotak kondom dalam tong sampah
  • Lesen perniagaan hotel disita dan hotel diarahkan tutup selama satu hari untuk siasatan lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!