Ekonomi sebenar Malaysia kurang memberangsangkan

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ekonomi sebenar Malaysia pada masa ini kurang memberangsangkan, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, pakar-pakar ekonomi menjangkakan ekonomi Malaysia akan mengalami kemelesetan pada tahun hadapan meskipun terdapat peningkatan sementara Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Pada masa sama, kedudukan fiskal kerajaan juga dijangka agak terbatas pada tahun-tahun hadapan dan ini akan menghadkan tindakan untuk merangsang ekonomi menerusi pakej-pakej rangsangan dan bantuan rakyat sebagaimana dilaksana kerajaan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, menyedari keadaan tersebut MPN sejak awal lagi mengemukakan cadangan-cadangan kerajaan mengatasi masalah gangguan bekalan yang akan menjejaskan produktiviti, meningkatkan kadar inflasi dan memperlahankan proses pemulihan negara.

"Sehingga kini sebanyak 95 perakuan MPN telah dibawa untuk dipertimbangkan kerajaan menerusi Memorandum Jemaah Menteri yang mana 69 daripadanya adalah berkaitan isu utama yang mempunyai impak terhadap pemulihan ekonomi dan sosial serta 26 keputusan membabitkan hal ehwal pentadbiran," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di sini, pada Selasa.

Muhyiddin menegaskan, MPN tidak mempunyai kuasa pelaksanaan terhadap perakuan-perakuan yang disyorkan majlis.

"Sebagai Pengerusi PN, saya tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan menteri atau ketua setiausaha kementerian atau ketua pengarah jabatan kerajaan mengambil langkah atau keputusan tertentu atau bagi mempercepatkan proses pemulihan negara," katanya.

Ujarnya, kuasa itu terletak di tangan perdana menteri dan kabinet.

Artikel Berkaitan:

"Ini bermakna, skop tugas MPN ialah memberi nasihat dan perakuan kepada kerajaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meneliti perakuan yang dikemukakan dan melaksanakannya," katanya.

Mengenai beberapa pihak menyentuh fungsi MPN yang dikatakan tidak berfungsi dengan baik dalam memacu pemulihan negara, Muhyiddin berkata, majlis itu dianggotai oleh Menteri Kewangan sebagai Menteri Penyelaras, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Kanan Pertahanan, Menteri Kanan Kerjaraya, Menteri Kanan Pendidikan, Menteri Kesihatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara dan pakar-pakar ekonomi, sosial dan pendidikan termasuk wakil daripada parti-parti pembangkang.

MPN hanya bertindak sebagai badan penasihat kepada kerajaan yang tidak mempunyai kuasa pelaksanaan.

"Perakuan-perakuan MPN dibawa ke kabinet untuk kelulusan dan selepas itu hendaklah dilaksanakan oleh kementerian atau agensi kerajaan yang berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin menggesa kerajaan memberi tumpuan utama kepada usaha melaksanakan langkah dengan lebih berkesan terutamanya bagi meringankan beban rakyat akibat kenaikan harga barangan dan kadar inflasi.

"Saya berharap kerajaan menerusi Bajet 2023 akan dapat mengemukakan langkah-langkah seimbang dan berkesan dalam mengawal kenaikan kadar inflasi, kejatuhan nilai ringgit, merangsang pertumbuhan ekonomi dan membantu rakyat susah," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menolak dakwaan MPN diibaratkan sebagai harimau tidak bertaring.

"Bandingan itu tidak adil kerana MPN sudah melaksanakan tanggungjawabnya," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata bahawa kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi negara adalah kegagalan semua pihak termasuk MPN.