ECRL nadi pembangunan Kelantan pada masa depan - Anwar

Anwar (tiga dari kanan) bersama Ahmad (dua dari kiri) pada Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama ECRL Tunjong di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu pada Jumaat.
Anwar (tiga dari kanan) bersama Ahmad (dua dari kiri) pada Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama ECRL Tunjong di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjadi nadi kepada pembangunan Kelantan pada masa hadapan.

Beliau berkata, ECRL akan membawa pelbagai manfaat kepada negeri ini yang dianggap terpisah daripada pusat pertumbuhan di Lembah Klang.

"Dengan adanya projek ini saya berharap kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat bersama mencetuskan pembangunan daripada pelaksanaan ECRL," katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama ECRL Tunjong di Bandar Baru Tunjong di sini pada Jumaat.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook; Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Sri Darwish Abdul Razak serta Pengarah Eksekutif China Communication Construction Company Ltd (CCCC), Lui Hui.

Menurut beliau, kemudahan ECRL bukan sahaja untuk orang ramai dan rakyat, sebaliknya ia juga digunakan untuk mengangkut bahan-bahan pengeluaran, pertanian dan industri.

Ujarnya, langkah itu akan memudahkan kerja-kerja mengangkut pengeluaran hasil pertanian dan industri selepas ini.

Anwar memberitahu, beliau mahu semua pihak termasuk kerajaan dan kerajaan negeri perlu melakukan tindakan agresif dengan menarik pelabur dengan menjamin beberapa insentif baharu di Kelantan.

“Kita (Kerajaan Pusat) mendapat keluhan daripada pelabur-pelabur dari China yang memaklumkan bahawa proses kelulusan menjadi masalah semasa berunding baru-baru ini.

“Jadi, saya percaya jalinan lebih akrab antara kerajaan Persekutuan dan negeri akan memudahkan pelaksanaan projek sekali gus memberi manfaat khususnya kepada Kelantan,” ujarnya.