Bongkar kegiatan simpan, pindah diesel haram

Arjunaidi (kanan) menunjukkan antara rampasan yang dibuat polis dalam serbuan gudang pemindahan diesel bersubsidi di Jalan Klang - Banting, Kuala Langat, pada Rabu.
Arjunaidi (kanan) menunjukkan antara rampasan yang dibuat polis dalam serbuan gudang pemindahan diesel bersubsidi di Jalan Klang - Banting, Kuala Langat, pada Rabu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Sebuah gudang yang dijadikan tempat menyimpan dan memindah diesel bersubsidi secara haram di Jalan Klang - Banting, di sini berjaya ditumpaskan dalam serbuan pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan kira-kira jam 9 pagi oleh sepasukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) itu berjaya merampas lebih 88,000 liter diesel selain tangki pelbagai saiz, dua forklift, 21 lori bounded serta 28 pam penyedut yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Menurutnya, serbuan hasil risikan selama satu bulan itu turut menahan tujuh lelaki yang berperanan sebagai pemandu lori serta pekerja am.

"Suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan, Bangladesh (3) serta seorang Myanmar.

"Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah mendapatkan bekalan dari stesen-stesen minyak di sekitar daerah Kuala Langat dengan menggunakan lori atau pacuan empat roda yang diubah suai tangki," katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan pada Rabu.

Polis menyerbu sebuah gudang pemindahan diesel bersubsidi di Jalan Klang - Banting, Kuala Langat, pada Rabu.
Polis menyerbu sebuah gudang pemindahan diesel bersubsidi di Jalan Klang - Banting, Kuala Langat, pada Rabu.

Beliau berkata, diesel itu kemudian dipindahkan ke tangki di gudang terbabit sebelum diedar ke industri pembinaan, perkilangan dan perkapalan.

Ini bermakna, sindiket akan menjual dengan harga lebih murah daripada harga industri.

Artikel Berkaitan:

"Harga yang ditawarkan oleh sindiket kepada industri perkapalan adalah RM8 manakala perkilangan dan pembinaan RM3.70," ujarnya.

Tambahnya, dipercayai sindiket ini telah aktif sejak dua tahun lalu di Selangor dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti dalang serta pemilik gudang.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," tegasnya.

Ujarnya, polis menyeru orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kegiatan sebegini bagi pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memerangi jenayah ini.