Aktiviti seleweng diesel bersubsidi tumpas

Antara lori yang disita dalam serbuan di Tanah Merah, Port Dickson pada Rabu. - Foto KPDN Negeri Sembilan
Antara lori yang disita dalam serbuan di Tanah Merah, Port Dickson pada Rabu. - Foto KPDN Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan rampasan keseluruhan dianggarkan RM195,480 dalam Op Tiris di Tanah Merah, Port Dickson pada Rabu.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, ketika serbuan lebih kurang jam 9 malam itu, pasukan penguat kuasa mendapati dua lelaki dipercayai pekerja sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi dari tangki kepala lori ke dalam tangki lori treler.

"Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 AKB 1961 iaitu memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

"Hasil serbuan, dianggarkan 7,200 liter diesel dirampas, turut disita sebuah lori tangki, telefon bimbit dan peralatan yang digunakan untuk aktiviti penyelewengan minyak diesel," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian bekalan minyak diesel bersubsidi yang terlibat.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan berjadual agar mematuhi undang-undang.

"KPDN Negeri Sembilan konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN.

"Ia khususnya dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan barang kawalan diesel," katanya.