Kerugian banjir Baling dianggar RM28 juta

Muhammad Sanusi (kiri) berbincang bersama Exco Kerajaan negeri, Datuk Dr Hayati Othman selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.
Muhammad Sanusi (kiri) berbincang bersama Exco Kerajaan negeri, Datuk Dr Hayati Othman selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan nilai kerugian akibat bencana banjir lumpur dan fenomena kepala air di daerah Baling pada 4 Julai lalu dianggarkan berjumlah RM28 juta.

Beliau berkata, kerugian itu melibatkan kemusnahan rumah, premis, infrastruktur, kenderaan dan harta benda yang lain.

Katanya, anggaran kerugian dalam kejadian banjir pertama itu dilakukan oleh Jawatankuasa Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) oleh Pejabat Daerah Baling.

"Seramai 80 pembanci yang dilantik telah turun ke setiap rumah bagi membuat bancian kerugian," katanya selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Menurutnya, bancian itu dibuat berdasarkan lebih 900 laporan polis telah dibuat berhubung kejadian berkenaan.

"Bagi kejadian banjir kali kedua pada hujung Julai pula, kita masih belum menerima jumlah keseluruhan kerugian yang ditanggung oleh penduduk," kata beliau.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi berkata, proses pengambilan tanah untuk memindahkan 17 buah rumah yang terletak dalam zon kuning di sepanjang jajaran Sungai Kupang berisiko telah bermula.

"Kita telah memulakan proses pengambilan tanah untuk membina 17 rumah baharu di Kampung Seniyek buat penduduk yang berada di zon kuning.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap ia dapat diselesaikan secepat mungkin kerana tahu penduduk di kawasan berkenaan bimbang setiap kali hujan lebat turun," katanya.

Menurut Muhammad Sanusi, akibat kejadian banjir kali pertama, satu aliran air telah terbentuk di sungai itu yang menyebabkan air akan melalui laluan terbabit setiap kali hujan lebat.

"Ia juga telah menyebabkan Jambatan Bailey dibina rosak akibat sampah dan kayu tersangkut di jambatan itu.

"Kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya segera memperbaiki jambatan itu dan ia telah diangkat satu meter daripada kedudukan asal kerana didapati terlalu rendah untuk mengelak sampah dan kayu dari tersangkut di situ hingga menyebabkan aliran air terganggu," katanya.