[VIDEO] Tak mustahil Pejuang sokong PN - Muhammad Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

YAN - Tidak mustahil sekiranya parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa meskipun sebelum ini permohonan Pejuang untuk menyertai PN ditolak.

Menurutnya, kemungkinan Pejuang boleh bekerjasama bersama PN menerusi platform lain yang tidak bertumpu pada politik seperti Proklamasi Orang Melayu.

“Mungkin (boleh bersama PN), saya tak tahu kalau Pejuang ada melakukan permohonan sekali lagi. Tak mustahillah,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) Kedah sempena Himpunan Jentera Pilihan Raya PN Kedah di Padang Awam Guar Chempedak di sini pada malam Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta kepimpinan tertinggi PN Kedah.

Pada Khamis, Pejuang membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan gabungan yang turut disertai UMNO dalam menghadapi PRN yang dijangka diadakan pada Julai.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana UMNO telah terpalit dengan amalan kleptokrasi yang jelas tidak selari dengan prinsip perjuangan parti itu.

Bagaimanapun katanya, parti terbabit masih terbuka untuk sebarang perbincangan mengenai kerjasama terutama dengan pihak yang berada pada 'jalur Melayu'.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN tidak menolak kemungkinan PN dapat menerima Pejuang atas landasan bukan politik.

“Mungkin ada platform lain selain gabungan parti-parti politik, seperti yang sedang diusahakan bawah Proklamasi Orang Melayu. Ia mungkin boleh menjadi satu platform (kerjasama) juga,” ujarnya.

Menurutnya lagi, proklamasi tersebut bukan merupakan sebuah parti politik dan ia mampu menjadi medan penyatuan ummah.

“Mereka sebuah badan bertindak dan boleh menjadi medan untuk menyatukan orang Melayu sebab Pejuang pun kalangan orang Melayu juga,” jelasnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan, Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dihadiri kepimpinan tertinggi komponen parti PN membuat keputusan menolak permohonan Pejuang menyertai gabungan itu.

“Keputusan yang sebelum ini, tidak terima (Pejuang) setakat ini kekal lagilah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:PRN: Enam negeri masih kekal sepakat bubar DUN serentak

ARTIKEL BERKAITAN:PH, BN dibayangi ketakutan angka SD - Muhammad Sanusi