Penduduk waspada kepala air landa Titi Hayun, Seri Perigi

Keadaan fenomena kepala air yang berlaku di pusat rekreasi Titi Hayun pada petang Isnin. - Foto: Bomba
Keadaan fenomena kepala air yang berlaku di pusat rekreasi Titi Hayun pada petang Isnin. - Foto: Bomba
A
A
A

YAN - Seramai 30 penduduk yang tinggal berhampiran kawasan rekreasi Titi Hayun dan Seri Perigi, dekat sini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas berlaku fenomena kepala air di kawasan tersebut pada petang Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Penolong Penguasa Bomba Norhamidi Ali berkata, hujan lebat di atas Gunung Jerai menyebabkan kepala air berlaku pada jam 6.40 petang.

Menurutnya, walau bagaimanapun setakat jam 7.30 malam, keadaan masih terkawal dan tiada penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Pasukan penyelamat memantau kejadian kepala air di Titi Hayun dan Seri Perigi di Yan pada petang Isnin.
Pasukan penyelamat memantau kejadian kepala air di Titi Hayun dan Seri Perigi di Yan pada petang Isnin.

"Pihak Bomba melibatkan seorang pegawai dan lima anggota tiba di lokasi kejadian memantau dan menutup sementara laluan ke kedua - dua lokasi.

"Turut bersama mengawal keadaan adalah polis, RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam yang membuat rondaan serta memberi amaran peringatan berjaga- jaga kepada penduduk yang tinggal di kaki gunung," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Norhamidi berkata, air dilaporkan mulai surut setakat jam 8.15 malam pada Isnin namun pemantauan diteruskan berikutan puncak Gunung Jerai masih terdapat tompokan awan hitam yang dikhuatiri akan berlaku hujan lebat.

Pada 18 Ogos tahun 2021, negara gempar apabila enam mangsa terkorban selepas dihanyutkan air deras akibat fenomena kepala air di Gunung Jerai dan Titi Hayun.