Banjir Iboi: Jambatan Bailey berganjak lebih dua meter

Kerja baik pulih jambatan Bailey, Kampung Iboi, Kupang, Baling sedang dilakukan.
Kerja baik pulih jambatan Bailey, Kampung Iboi, Kupang, Baling sedang dilakukan.
A
A
A

BALING - Jambatan Bailey yang dipasang di Kampung Iboi di sini berganjak lebih dua meter dari kedudukan asal akibat dilanda arus deras dalam kejadian banjir pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata, berikutan itu, jambatan yang menghubungkan Kampung Iboi dan Kampung Masjid Iboi itu ditutup untuk semua kenderaan berikutan mengalami kerosakan struktur serta dikhuatiri tidak selamat digunakan.

Menurutnya, jambatan itu berganjak lebih dua meter daripada kedudukan asal selain permukaan lantai jambatan juga terjejas.

"Jambatan yang dipasang dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini dihanyutkan air deras, ia berganjak dari tapak asal.

Jambatan Bailey yang mengalami kerosakan akibat dilanda arus deras sedang dibaiki.
Jambatan Bailey yang mengalami kerosakan akibat dilanda arus deras sedang dibaiki.

"Jalan berdekatan jambatan juga rosak dan kita telah tutup sepenuhnya kepada semua kenderaan termasuk pejalan kaki sejak semalam,"katanya kepada media di sini pada Rabu.

Menurut Shamsudin, kerja-kerja baik pulih jambatan dan mendalamkan sungai sehingga kini masih dijalankan.

"Kerja baik pulih dan korek sungai ini akan mengambil masa yang akan ditentukan oleh agensi berkaitan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati, kakitangan JKR dan anggota ATM telah berada di lokasi bagi kerja-kerja membaiki kerosakan jambatan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan jambatan asal di Kampung Iboi musnah dihanyutkan arus deras menyebabkan penduduk terputus hubungan dalam kejadian kepala air 4 Julai lalu.

Permukaan jalan di jambatan Bailey turut retak menyebabkan kerja-kerja baik pulih kini sedang dijalankan.
Permukaan jalan di jambatan Bailey turut retak menyebabkan kerja-kerja baik pulih kini sedang dijalankan.

Bagaimanapun, pemasangan jambatan Bailey bagi memudahkan pergerakan penduduk, turut mengalami kerosakan selepas banjir kali ketiga melanda kawasan itu pada Selasa.