Kelantan catat kerugian akibat penipuan RM13 juta

Muhamad Zaki (dua dari kanan) melawat gerai juadah Hari Raya di IPK.
Muhamad Zaki (dua dari kanan) melawat gerai juadah Hari Raya di IPK.
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan mencatatkan 417 kes jenayah penipuan membabitkan kerugian lebih RM13 juta bermula Januari hingga 14 Mei tahun ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, paling tinggi kes kategori penipuan melalui telefon yang sebelum ini turut dikenali sebagai macau scam dan modus operandi penjenayah masih sama.

“Penipuan melalui telefon sebanyak 116 kes dengan jumlah kerugian lebih RM7 juta diikuti belian barangan melalui dalam talian 102 kes dan 43 kes pelaburan dalam talian masing-masing melibatkan kerugian lebih RM1 juta.

“Mereka yang menjadi mangsa termasuk golongan profesional dan pelajar yang sepatutnya tidak terjerat atau mudah ditipu,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long.

Menurut beliau, kes-kes lain yang dilaporkan ialah 10 kes pecah amanah jenayah dengan kerugian RM1.4 juta, 42 kes pinjaman tidak wujud (RM613,388), 11 kes penipuan love scam/parcel (RM256,548), 24 kes tipu kerja sambilan dalam talian (RM272,283), 43 akta pemberi pinjam wang atau ah long (RM24,420) dan tiga kes akta jenayah komputer (RM21,200) serta 22 kes-kes lain.

Muhamad Zaki menegaskan usaha mengekang jenayah penipuan akan menjadi fokus polis di negeri itu selepas langkah membanteras jenayah dadah.

“Saya mengingatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan butiran diri seperti kad pengenalan dan nombor akan kepada orang asing kerana tidak ada urusan berkait undang-undang diselesaikan melalui telefon.

“Jangan biarkan diri ditipu sewenang-wenangnya hingga kerugian wang ringgit puluhan ribu atau menjadi keldai akaun yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan upah,” katanya.