Bapa empat anak didenda RM55,000 simpan kasut, selipar tiruan

Yee Fai (kanan) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka pada Jumaat.
Yee Fai (kanan) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Padah menyimpan lebih 4,000 kasut dan selipar tiruan berjenama terkenal, seorang bapa empat anak didenda RM55,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Loke Yee Fai, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjarakan lima bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Yee Fai yang bekerja sebagai pembantu jualan didakwa dalam simpanannya 4,277 unit kasut dan selipar tiruan jenama terkenal di sebuah premis di Jalan Nangka, Taman Rumpun Bahagia di sini pada jam 4.30 petang, 31 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 102 (1) (C) Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap barangan tiruan atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh didenda RM20,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kedua dan berikutnya.

Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Mohamaf Ashraf Nashruddin Ahmad Nazari meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS serta masyarakat.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Kent Tan Chow Teng merayu jumlah denda dikurangkan dengan alasan perlu menanggung empat orang anak selepas bercerai selain mengalami kerencatan tulang belakang.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada April lalu melaporkan sebanyak 4,277 pasang kasut dan selipar tiruan jenama terkenal bernilai kira-kira RM85,710 dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Bachang.

Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar berkata, operasi itu dijalankan selepas pasukan penguat kuasa membuat risikan di premis yang dijadikan stor menyimpan barangan tiruan tersebut.