[VIDEO] Kasut Hermes tiruan dijual RM90 sepasang dirampas

Norena (dua,kiri) menunjukkan kasut terkenal jenama tiruan yang dirampas ketika sidang akhbar di Krubong di sini, pada Jumaat.
Norena (dua,kiri) menunjukkan kasut terkenal jenama tiruan yang dirampas ketika sidang akhbar di Krubong di sini, pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Tindakan empat premis menjual kasut berjenama mewah tiruan dengan harga RM90 sepasang di lokasi tumpuan pelancong Banda Hilir, di sini terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka dalam operasi, pada Khamis.

Operasi yang disertai seramai 11 pegawai dan anggota Seksyen Penguat Kuasa KPDN Melaka berjaya merampas 32 pasang kasut, 24 pasang selipar dan 13 tali pinggang jenama Hermes dengan nilai sitaan berjumlah RM3,224.

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar, berkata, pihaknya bertindak selepas menerima laporan daripada wakil pemilik cap dagang jenama Hermes yang mengesyaki barangan tiruan itu diniagakan di premis terbabit.

"Bertindak atas maklumat risikan, kita melakukan serbuan ke atas empat premis itu.

Sebahagian barangan termasuk kasut jenama tiruan yang dijual dengan harga RM90 dirampas dalam operasi pada Khamis.
Sebahagian barangan termasuk kasut jenama tiruan yang dijual dengan harga RM90 dirampas dalam operasi pada Khamis.

"Empat individu termasuk dua wanita masing-masing berusia antara 30 hingga 50 tahun turut ditahan," katanya ketika sidang akhbar di Stor Eksibit Krubong, di sini pada Jumaat.

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya lagi.

Tambah beliau, pihaknya turut menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan taktik peniaga yang cuba mengambil keuntungan dengan mudah.